FABIO Quartararo Dedah Dapat Tawaran Selain Yamaha

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/30/20241 min read

FABIO Quartararo setakat ini kekal satu-satunya pelumba yang memiliki kontrak bersama Yamaha dalam kempen MotoGP musim depan dengan tiga lagi posisi masih menjadi teka teki.

Sekalipun boleh dikatakan agak lewat, pengeluar Jepun yang sedang bergelut itu berjaya melengkapkan tandatangan pelumba Perancis itu pada April lalu diikuti kejayaan memikat Pramac Racing untuk menjadi pasukan satelitnya bulan lalu.

Pernah dituduh tawaran berstatus mega Yamaha membuatkannya kekal, Quartararo begitupun menolak dakwaan itu dan menyatakan dia sememangnya meletakkan Yamaha sebagai pilihan utama serta mendedahkan turut menerima tawaran untuk menyertai pasukan lain.

"Saya melanjutkan kontrak saya bersama Yamaha kerana saya mempunyai kepercayaan dalam projek ini," kata Quartararo memetik laporan Corsedimoto.

"Saya mempunyai peluang untuk berpindah ke pasukan lain, tetapi kesetiaan saya kepada Yamaha cukup besar dan Yamaha juga amat setia kepada saya.

"Lebih daripada itu, permintaan saya turut didengari.

"Kita perlu menunggu dan lihat bagaimana dua tahun berikutnya akan berjalan. Kamudian akan ada masa untuk membuat keputusan baharu."

Antara pasukan yang dikaitkan dengan juara dunia MotoGP 2021 adalah Aprilia yang kemudian berjaya mendapatkan pelumba berbakat besar, Jorge Martin serta Marco Bezzecchi daripada Ducati.

Yamaha dikatakan turut berminat dengan Martin untuk digandingkan dengan Quartararo namun pakej yang dimiliki Aprilia terutama membabitkan jentera menghalang usaha itu.

Seperti Honda, Yamaha ketika ini tidak mempunyai potensi untuk mencabar kedudukan di podium dan keputusan terbaik berjaya diraih adalah di kedudukan kelima pada Perlumbaan Sprint di GP Sepanyol.

Mengulas lanjut, Quartararo yang ketika ini menghuni tangga ke-15 carta pelumba dan menjadi pelumba terbaik daripada pengeluar Jepun dalam senarai mengakui berpuas hati dengan perkembangan ditunjukkan pasukan itu.

"Projek yang baik, orang yang hebat, mentaliti berbeza, keputusan tidak lagi mengambil masa tiga atau empat bulan, tetapi lebih pantas," katanya.

"Saya mahu orang yang pernah bekerja dengan pengeluar lain dan mempunyai pengalaman dengan jentera berbeza. Yamaha memberikan segala-gala yang saya minta... Ini adalah alasan yang baik untuk kekal."