FABIO Quartararo Dedah Masalah Yamaha M1

Memulakan perlumbaan di petak utama, pelumba Monster Yamaha Fabio Quartararo sekali lagi mengalami kempen mengecewakan apabila tidak menamatkan perlumbaan di GP Belanda 2025 selepas mengalami kemalangan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/29/20251 min read

PELUMBA Monster Yamaha, Fabio Quartararo menjelaskan perbezaan antara jentera pasukan itu dengan pengeluar lain di MotoGP terutamanya dalam situasi perlumbaan sebenar.

Pernah mengadu yang jentera lebih berkuasa sering menghalang pelumba-pelumba Yamaha daripada mengambil garisan (perlumbaan) ideal yang membolehkan mereka memanfaatkan sepenuhnya kekuatan Yamaha YZR-M1, perkara itu sekali lagi disuarakan Quartararo.

Sekali pun memulakan perlumbaan di petak utama, juara dunia MotoGP 2021 itu kehilangan kedudukan sebagai pendahulu sebelum pusingan 1 berakhir dan lebih malang, tidak berjaya menamatkan perlumbaan kerana terjatuh ketika perlumbaan berbaki 4 perlumbaan dan di posisi ke-4.

"Seperti biasa, jika kamu melakukan pusingan secara sendirian, ia tiada apa-apa tetapi pada perlumbaan, apabila mereka menggunakan semua kuasa dan kesemua cengkaman yang mereka ada, kami tidak dapat menggunakan garisan (perlumbaan) kami dan kami sentiasa perlu berfikir mengenai orang di belakang," kata Quartararo.

"Kami sedang berusaha terhadap perkara ini dan cuba untuk mengenal pasti apa yang kami boleh lakukan.

"Kami tahu yang rentak kelajuan yang kami ada adalah bagus, tetapi kami juga tahu yang Marc (Marquez), Alex (Marquez) lebih kuat daripada kami di beberapa bahagian.

"Apabila keadaan berubah sedikit kami masih bergelut.

"Kami sedang berusaha untuk memahami situasi dan cuba untuk melihat apa yang kami boleh capai, kerana mendapatkan rentak kelajuan secara bersendirian adalah satu perkara, tetapi dalam perlumbaan ia cerita yang berbeza.

"Ini adalah sebab mengapa mereka lebih baik daripada kami."

Mengulas kemalangannya, Quartararo berkata ia adalah kombinasi daripada kesilapan yang dilakukan pada Jumaat dan corak tunggangannya yang agresif.

"Kami melakukan kesilapan pada Jumaat dan kami perlu memulakan perlumbaan dengan tayar depan yang sudah digunakan," kata Quartararo memetik laporan TNT Sports.

"Saya merasa bagus dengan jentera. Tetapi menekannya sehingga had bermakma kami melakukan kesilapan dan kemalangan, tetapi perkara ini akan berlaku apabila kamu berada 100 peratus di setiap selekoh," katanya.