FABIO Quartararo Dedah Terfikir Nak Tinggalkan Yamaha Selepas Jadi Juara

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/15/20241 min read

FABIO Quartararo mendedahkan pernah menimbang untuk meninggalkan Yamaha selepas beberapa bulan menjulang gelaran dunia MotoGP pada musim 2021.

Menurut pelumba pasukan Monster Yamaha itu, dia mula menyedari yang pengeluar Jepun itu mula berdepan masalah sebelum kejuaraan dunianya berjaya dijulang.

Dan sekalipun tampak kompetitif pada musim 2022, kejuaraan berjaya dirampas pelumba Ducati Lenovo, Francesco Bagnaia dengan masalah Yamaha menjadi semakin rumit sehingga sekarang.

"Pada penghujung 2021, ketika kami hampir menjuarai gelaran," kata Quartararo memetik laporan Motosprint ketika ditanya bila kali pertama dia menyedari isu yang bakal melanda Yamaha.

"Sejujurnya, saya sudah berfikir untuk merubah pasukan pada 2022, tetapi meninggalkan pasukan ketika kamu sedang mempimpin kejuaraan adalah mustahil.

"Saya fikir kami akan melangkah ke depan, tetapi kami tidak. Kini kami bekerja dengan cara yang betul."

Begitupun, pelumba kelahiran Perancis itu mengakui komited dengan projek yang sedang dijalankan Yamaha ketika ini selepas berjaya dipikat oleh pengeluar itu untuk kekal dengan kontrak yang dilaporkan menjadikannya pelumba MotoGP dengan gaji paling lumayan.

Projek Yamaha tampak berjalan lancar dan selepas mendapatkan Quartararo, pengeluar itu mengesahkan akan memperoleh pasukan satelit musim depan apabila berjaya memujuk Pramac menyertai mereka.

Selepas melengkapkan kontrak Alex Rins, pasukan satelit itu turut mengesahkan kontrak dua pelumba berpengalaman, Jack Miller dan Miguel Oliveira untuk musim depan selepas mengesahkan sedang membangunkan enjin V4.