FABIO Quartararo Dedah Yamaha M1 'Tak Boleh Ditunggang' Di Sprint Aragon

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/8/20251 min read

PELUMBA Monster Yamaha, Fabio Quartararo mengakui jentera Yamaha YZR-M1 'tidak boleh ditunggang' berikutan isu di bahagian belakang yang menyaksikannya menamatkan Perlumbaan Sprint Grand Prix Aragon 2025 di kedudukan ke-11, semalam.

Juara dunia MotoGP 2021 itu mengharungi kempen sukar pada hari pertama di Aragon yang menyaksikannya terlepas slot terus ke Kelayakan 2 (Q2) selepas bergelut dengan masalah gegaran yang berlaku kepada jenteranya.

Pelumba Perancis itu begitupun berjaya layak ke Q1 selepas mendominasi Q1 untuk memulakan perlumbaan di petak ke-9 dan sekali pun berada dalam kelompok pungutan mata pada satu ketika, 'pergeseran' dengan pelumba KTM Tech3, Maverick Vinales membuatkannya tercicir.

Quartararo mendedahkan jenteranya 'tidak boleh ditunggang' selepas hanya beberapa pusingan dan ia disebabkan gegaran di bahagian belakang yang tidak dijangka selepas menggunakan tayar jenis lembut.

"Saya mengalami banyak gegaran dari bahagian belakang sejak pusingan ketiga, dan malangnya saya tidak dapat menekan dan setiap pusingan ia menjadi semakin teruk,” katanya kepada media di Aragon selepas perlumbaan.

“Sejujurnya, saya tidak faham bagaimana saya melakukan 1 minit 47.9 saat pada pusingan terakhir kerana jentera ini tidak boleh ditunggang disebabkan oleh masalah di bahagian belakang ini.

“Saya menjangkakan perasaan kurang baik terhadapi jentera ketika Perlumbaan Sprint, jadi saya fikir esok (hari ini) dengan tayar belakang pertengahan boleh menjadi pilihan yang baik."

Mengulas gegaran itu, Quartararo berkata: "Saya tidak pernah menjangkakan gegaran sebanyak itu dan malangnya kami mengalaminya. Sangat pelik tetapi saya berharap tidak mengalaminya esok.

Sekalipun mengakui menunggang Yamaha M1 sebagai 'merbahaya', Quartararo berkata dia berjaya melakukan peningkatan berbanding Jumaat adalah disebabkan pakej elektronik jenteranya.

"Sukar untuk tidak bertambah baik. Merbahaya untuk menunggang (M1) semalam (Jumaat) dan apa yang kami ada hari ini (Sabtu) lebih baik. Kami bekerja dengan baik mengenai perkara ini, dan kerja yang kami lakukan di sini amat penting kerana di sesetengah litar ia sudah pun berlaku di sini mula terjadi sedikit."