FABIO Quartararo Gembira Gandingan Diogo Moreira, Puji David Alonso
Secara peribadi saya amat menyukai Diogo (Moreira). Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengannya, jadi saya yakin akan seronok bekerja bersamanya," kata Fabio Quartararo
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/14/20261 min read


JUARA dunia MotoGP 2021, Fabio Quartararo menyambut baik keputusan Honda HRC menggandingkannya bersama Diogo Moreira di pasukan 'kilang' bagi musim 2027, sambil turut memuji kualiti calon asal 'kerusi' berkenaan, David Alonso.
Mengulas mengenai perubahan perancangan pengeluar Jepun itu, pelumba kelahiran Perancis berkenaan mengakui masih terlalu awal untuk menilai keserasian mereka di litar, namun yakin hubungan peribadi yang positif akan memudahkan kerjasama di dalam garaj nanti.
"Saya tidak boleh berkata banyak mengenai dirinya sebagai rakan sepasukan, namun secara peribadi saya amat menyukai Diogo. Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengannya, jadi saya yakin akan seronok bekerja bersamanya," katanya kepada La Revista De Motos.
Quartararo turut mendedahkan bersikap terbuka dan langsung tidak berdepan masalah untuk digandingkan dengan mana-mana pelumba memandangkan hubungan baik yang terjalin bersama kedua-dua bakat baharu itu.
"Ya, kedua-duanya. Saya mempunyai hubungan yang sangat baik dengan kedua-dua mereka, jadi sama ada David atau Diogo, tiada masalah buat saya."
Quartararo turut menyatakan Alonso sebagai seorang yang sangat bijak serta sentiasa berusaha mendapatkan hasil terbaik daripada segala perkara, sekali gus mempunyai masa depan cerah biarpun terlepas kerusi utama.
Terdahulu, Honda mencetuskan kejutan dalam pasaran pelumba musim 2027 apabila membuat perubahan drastik dengan menaikkan pangkat Moreira dari pasukan LCR susulan aksi memukau pada musim sulungnya termasuk menaiki podium perlumbaan Sprint di Motegi.

