FABIO Quartararo Kagum Aksi Toprak Razgatlioglu
Toprak Razgatlioglu yang beraksi bersama pasukan satelit Pramac Yamaha muncul pelumba terbaik jentera pengeluar itu di COTA apabila menamatkan saingan perlumbaan utama di kedudukan ke-15 sekali gus mata pertamanya di MotoGP
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/10/20261 min read


TIADA permulaan mengagumkan berjaya dilakar juara dunia tiga kali WorldSBK, Toprak Razgatlioglu pada permulaan kempennya di MotoGP tetapi apa yang ditampilkan di Grand Prix (GP) Amerika Syarikat di COTA mendapat pujian pelumba pasukan 'kilang' Yamaha, Fabio Quartararo.
Beraksi bersama pasukan satelit Pramac Yamaha, penunggang kelahiran Turki muncul pelumba terbaik jentera pengeluar itu di COTA apabila menamatkan saingan perlumbaan utama di kedudukan ke-15 sekali gus mata pertamanya di MotoGP.
Meskipun prestasi jentera Yamaha V4 masih jauh ketinggalan dengan Razgatlioglu menamatkan perlumbaan lebih 25 saat di belakang pemenang dari Aprilia, Marco Bezzecchi, Quartararo tetap kagum dengan adaptasi bekas pelumba BMW itu.
"Bukan saja hari ini (perlumbaan utama), malah sepanjang hujung minggu ini. Dalam perlumbaan Sprint dan sesi pemanas badan, dia sangat pantas. Saya benar-benar kagum, dan saya fikir ini pencapaian yang hebat untuknya melihat kepada cara dia menunggang dan perkembangannya," kata Quartararo.
"Dia menunggang dengan sangat lancar. Gaya tunggangannya juga seperti yang kita selalu lihat di saingan Superbike, lebih 'mengelongsor'. Saya benar-benar kagum dengan prestasinya."
Kempen MotoGP dijadual bersambung hujung bulan ini di Jerez, Sepanyol.

