FABIO Quartararo Kagum Kelajuan Toprak Razgatlioglu

Juara dunia tiga kali WorldSBK, Toprak Razgatlioglu menamatkan sesi hanya 1.3 saat (s) di belakang catatan terbaik dibuat pelumba Trackhouse Aprilia, Raul Fernandez dan 0.7s lebih perlahan berbanding Quartararo

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/22/20251 min read

BINTANG sensasi Yamaha, Fabio Quartararo mengakui terkejut dengan kelajuan yang dicipta 'rookie' MotoGP musim 2026, Toprak Razgatlioglu bersama jentera Yamaha M1 ketika menjalani ujian rasmi pertamanya di MotoGP di Valencia, Sepanyol, baru-baru ini.

Ujian sehari pasca perlumbaan itu berlangsung dalam keadaan sukar apabila hujan pada malam sebelumnya meninggalkan permukaan trek lembap pada sesi pagi.

Ia menyaksikan litar berkenaan hanya sesuai untuk digunakan pada sebelah petang yang sekali gus memberi peluang kepada Razgatlioglu untuk mencatat masa kompetitif.

Razgatlioglu, juara dunia tiga kali WorldSBK menamatkan sesi hanya 1.3 saat (s) di belakang catatan terbaik dibuat pelumba Trackhouse Aprilia, Raul Fernandez.

Quartararo, yang menamatkan ujian dengan catatan ke-15, 0.7s lebih pantas daripada Razgatlioglu, mengakui kagum dengan persembahan pelumba kelahiran Turki itu.

“Hari ini agak tergesa-gesa. Ramai pelumba lebih banyak meluangkan masa di box pasukan. Saya lihat dia (Razgatlioglu) membuat lebih banyak pusingan, dan saya cukup terkejut dengan kelajuannya. Saya fikir dia akan jadi lebih baik daripada jangkaan saya tahun depan,” katanya.

Meskipun teruja dengan kemunculan Razgatlioglu, masa depan Quartararo bersama Yamaha selepas 2026 masih menjadi tanda tanya.

Pelumba kelahiran Perancis itu menegaskan Yamaha perlu bekerja keras sepanjang musim sejuk untuk memastikan jentera Yamaha V4 baharu benar-benar bersedia menghadapi musim penuh pertamanya pada 2026.