FABIO Quartararo Masih Meremang Berlumba Di Laman Sendiri
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/8/20251 min read


PELUMBA Monster Yamaha, Fabio Quartararo mengakui tetap 'berpeluh' setiap kali dia mengharungi perlumbaan di laman sendiri, Grand Prix (GP) Perancis.
Juara dunia MotoGP 2021 itu tiba di Le Mans, minggu ini selepas mengharungi kempen mengujakan pada pusingan ke-5 di Jerez, Sepanyol yang menyaksikannya meraih petak utama dan menamatkan perlumbaan GP sebagai naib juara.
"Saya amat gembira kerana meraih petak utama dan tempat kedua di Jerez sebelum pusingan ini (GP Perancis)," kata Quartararo. "Le Mans amat istimewa kepada saya, ia adalah GP laman sendiri saya, dan akan ada ramai peminat bersorak untuk saya.
"Tidak kira berapa banyak kali saya mengharunginya, saya masih merasai perasaan meremang apabila mereka menyanyikan lagu kebangsaan di grid permulaan."
Quartararo begitupun tidak pernah memenangi perlumbaan MotoGP di laman sendiri malah hanya meraih satu keputusan podium iaitu ketiga pada musim 2021.
Menghuni tangga keenam dalam carta kedudukan pelumba MotoGP ketika ini, Quartararo juga tidak sabar untuk mengharungi perlumbaan di Le Mans mengikuti prestasi baik yang ditunjukkan enjin baharu Yamaha ketika ujian di Jerez.
Sekalipun ia masih bukan enjin dengan konfigurasi V4, enjin terbaharu Yamaha itu mencuri perhatian apabila Quartararo mencatat masa ke-3 terpantas dengan seorang lagi pelumbanya, Alex Rins melakukan catatan ke-4 terpantas.
"Kami perlu fokus kepada kerja yang kami perlu lakukan pada minggu ini," katanya. "Keputusan yang positif ketika minggu perlumbaan dan juga ketika ujian di Jerez satu pemangkin semangat yang bagus untuk pasukan.
"Saya teruja untuk melihat bagaimana prestasi enjin baharu ini di Le Mans. Saya tidak sabar untuk memulakannya."
Sebagai rekod, kali terakhir Yamaha menjuarai perlumbaan di Le Mans adalah pada 2017 menerusi Maverick Vinales.
