FABIO Quartararo Percaya Yamaha Dah Langkau Langkah Dengan Podium Di Jerez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/28/20251 min read

YAMAHA kembali ke kedudukan podium yang kali terakhir diperoleh pada 2023 menerusi kejayaan pelumba bintangnya, Fabio Quartararo pada perlumbaan MotoGP Grand Prix Sepanyol di Jerez.

Pelumba pasukan Monster Yamaha itu mencipta kejutan di Jerez apabila meraih petak utama sambil turut mencatatkan rekod terpantas terbaharu litar.

Dan sekali pun pulang dengan tangan kosong apabila terjatuh ketika sedang memimpin perlumbaan pada aksi Sprint, pelumba kelahiran Perancis itu tampil lebih tenang pada perlumbaan utama dan menghadiahkan pasukannya tempat kedua.

Lebih menarik, juara dunia 2021 itu berjaya memimpin perlumbaan dalam 10 pusingan sebelum dipintas pemenang, Alex Marquez dari Gresini Ducati, jentera yang sudah memenangi 22 perlumbaan MotoGP secara berturut-turut sejak tahun lalu.

Kali terakhir menaiki podium pada GP Indonesia 2023, Quartararo menyifatkan kejayaan itu sebagai membanggakan namun tidak mahu terlalu gembira kerana ia masih terlalu awal.

"Pada masa lalu, apabila saya sudah biasa memenangi perlumbaan, saya gemar berada di depan dan mendahului perlumbaan," kata Quartararo. "Dan itulah yang kami lakukan pada hari ini. Tetapi kelajuan tidak mencukupi untuk mendapatkan tempat pertama dan bersaing dengan Alex.

"Tetapi saya fikir, seperti saya sentiasa katakan, kami perlu selangkah demi selangkah, dan saya sudah pun berfikir yang kami melangkau beberapa langkah pada minggu ini kerana kami tidak pernah meraih kedudukan lima terbaik.

"Kami terus mendapatkan keputusan yang hebat, terus ke podium dan tempat kedua. Jadi kami perlu kekal bertenang bagi beberapa perlumbaan berikutnya, dan jika keputusan tidak diperoleh, kami perlu bersedia untuk pergi ke belakang sedikit."

Sebelum kejayaan podium di Jerez, keputusan terbaik Quartararo pada perlumbaan GP tahun ini adalah tempat ke-7 dengan keputusan terbaik diraih Yamaha adalah di tempat ke-5 menerusi Jack Miller di Austin.

Menariknya, Quartararo turut mendedahkan jenteranya tidak berubah sejak GP Amerika Syarikat.