FABIO Quartararo Percaya Yamaha Mampu Bangkit

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/15/20241 min read

JUARA dunia MotoGP 2021, Fabio Quartararo menjelaskan dia masih mempercayai kemampuan Yamaha untuk bangkit dan keputusan untuk kekal bersama pengeluar Jepun itu bukan mudah.

Quartararo dari Perancis menyertai Yamaha sebagai pelumba pasukan satelit, Petronas Yamaha SRT pada 2019 dan selepas memenangi tiga perlumbaan pada 2020, dia dipikat pasukan 'kilang' pada tahun berikutnya.

Dan tidak menunggu lama, Quartararo berjaya merangkul gelaran dunia sulungnya pada 2021 dan muncul naib juara dunia pada tahun berikutnya.

Tetapi pelumba berusia 25 tahun itu sekadar mengisi tangga ke-10 pada musim lalu dan ketika ini menghuni tangga ke-12 kedudukan carta pelumba selepas lima pusingan berlangsung.

"Keputusan saya (tandatangan kontrak baharu dengan Yamaha) bukan mudah, tetapi saya fikir untuk keluar apabila kamu masih memiliki kepercayaan kepada projek mereka adalah salah," kata Quartararo.

"Saya masih memiliki kepercayaan yang banyak kepada Yamaha, saya masih mempercayai diri saya dan saya tahu yang kami akan bangkit.

"Penting untuk saya jelas terhadap masa depan saya dan keputusan yang saya buat jelas berdasarkan apa yang kami sedang kerjakan daripada Januari sehingga kini.

"Ia adalah sesuatu yang pada dua tahun lalu saya tidak dapat lihat dan revolusi dalam pasukan.

"Saya gembira dengan jurutera-jurutera baharu, juga dengan jurutera dari Jepun, perubahan besar-besaran dari sudut cara kerja dan pemikiran agresif yang mereka ada ketika ini, saya fikir akan membuatkan perkara menjadi lebih laju."

Antara perkara yang menggembirakan Quartararo adalah kehadiran Pengarah Teknikal baharu Yamaha, Max Bartolini dari Ducati.

Yamaha sebelum ini dilaporkan mengeluarkan belanja tinggi sekitar € 12 juta (RM 61.7 juta) untuk mengekalkan Quartararo sehingga musim 2026 yang menjadikannya pelumba mamiliki gaji terbanyak di grid MotoGP ketika ini.