FABIO Quartararo Sah Sertai Honda HRC

Pengumuman Honda HRC itu menyaksikan pelumba Perancis berusia 27 tahun itu akhirnya meninggalkan Yamaha selepas 8 musim dan membuka 'buku' baharu menjelang pengenalan era enjin 850 cc bermula musim 2027

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/22/20261 min read

SEPERTI jangkaan, juara dunia MotoGP 2021 Fabio Quartararo sah menyertai pasukan Honda HRC bermula kempen musim depan.

Pengumuman itu menyaksikan pelumba Perancis berusia 27 tahun itu akhirnya meninggalkan Yamaha selepas 8 musim dan membuka 'buku' baharu menjelang pengenalan era enjin 850 cc bermula musim 2027.

Beberapa perubahan berlaku dalam kempen MotoGP musim depan termasuk penggunaan pengeluar tayar dijangka mampu mengubah landskap persaingan, sekali gus memberi peluang kepada kesemua pasukan untuk kembali mencabar kejuaraan.

“Honda Racing Corporation (HRC) dengan sukacitanya mengumumkan Fabio Quartararo menandatangani kontrak bagi musim Kejuaraan Dunia MotoGP 2027 dan 2028.

“Quartararo akan mewakili pasukan kilang Honda HRC ketika MotoGP memasuki era baharu 850 cc bermula 2027,” kata HRC.

Honda seperti diketahui kehilangan bintang utamanya Marc Marquez yang membuat keputusan menyertai Ducati pada 2024, berharap pengalaman serta kemampuan Quartararo mampu mempercepatkan proses kebangkitan pasukan itu selepas beberapa musim hambar.

Quartararo mencipta sensasi apabila muncul juara dunia MotoGP pada 2021 bersama pasukan milik Malaysia, PETRONAS Yamaha SRT, sekali gus menjadi pelumba Perancis pertama menjuarai kelas premier sebelum menamatkan saingan sebagai naib juara dunia semusim kemudian.

Begitupun, prestasinya merosot sejak itu apabila kali terakhir meraih kemenangan adalah pada musim 2022, selain hanya menamatkan saingan di kedudukan ke-10, ke-13 dan ke-9 keseluruhan dalam tiga musim terakhir.