FABIO Quartararo Sah Uji Enjin V4 Yamaha Bulan Depan

Tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ujian menggunakan enjin V4 itu akan dibuat Yamaha Racing dan Fabio Quartararo ketika ujian rasmi MotoGP atau ujian persendirian

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/19/20251 min read

FABIO Quartararo
FABIO Quartararo

PENANTIAN panjang untuk menyaksikan pelumba bintang Monster Yamaha, Fabio Quartararo menguji enjin baharu pengeluar Jepun itu di MotoGP berkonfigurasi V4 akan berakhir tak lama lagi.

Menurut pelumba kelahiran Perancis itu, dia akan membuat debutnya menggunakan enjin berkenaan pada 15 September ini semasa ujian rasmi di Misano.

Begitupun, tidak dapat dipastikan sama ada ujian itu akan berlaku ketika ujian rasmi atau ujian persendirian.

"Di Misano saya akan menguji V4... pada Isnin," kata Quartararo di GP Austria, minggu lalu memetik laporan Crash.net. "Bagus untuk melihat potensi jentera baharu itu."

Jika cukup kompetitif, prototaip berkenaan, yang dibangunkan bersama pelumba ujian Augusto Fernandez dan Andrea Dovizioso dijadual akan menggantikan unit enjin yang digunakan ketika ini 4 Silinder Sebaris pada musim depan.

Quartararo dalam pada itu memberitahu dia tidak akan memberi sebarang pandangan selagi tidak menguji sendiri enjin berkenaan.

"Augusto dan Dovi pelumba yang amat berpengalaman, dan sudah tentu, saya mempunyai keyakinan terhadap mereka," kata juara dunia 2021 itu. "Tetapi selagi saya tidak menguji jentera itu, saya tidak mahu memberikan sebarang (andaian)."

Sekalipun mengakui ujian di Misano penting, Quartararo menegaskan ujian pra-musim 2026 lebih penting terhadap projek V4 Yamaha.

"Kita akan memperoleh ujian Misano, dan Valencia. Tetapi ujian paling pentung bagi saya adalah ujian pra musim. Kerana di antara Misano dan Valencia, kamu tidak dapat mengubah jentera. Tetapi pada November dan Februari, kamu mempunyai banyak masa untuk melakukan pengubahsuaian.

"Jadi bagi saya, Februari akan menjadi ujian paling penting untuk jangka masa yang lama."

Quartararo dan Yamaha mengharungi kempen paling mengecewakan pada musim ini di GP Austria 2025.