FABIO Quartararo Tak Sabar Mulakan Kempen 2025, Kondisi Badan Paling Baik

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/1/20251 min read

JUARA dunia MotoGP 2021, Fabio Quartararo teruja untuk memulakan 'babak' baharu bersama Yamaha khususnya selepas pengeluar Jepun itu kini 'diiringi' pasukan satelit, Pramac Yamaha.

Selepas dua musim tanpa 'bantuan' dengan kali terakhir menerusi pasukan milik rakyat Malaysia, WithU Yamaha RNF MotoGP, Yamaha 'bersendirian' di MotoGP dan mengharungi dua musim tanpa sebarang kemenangan.

Bakal mengharungi tahun ke-7 di saingan elit itu, pelumba kelahiran Perancis itu mengakui motivasinya ketika ini cukup tinggi bagi menghadapi kempen baharu 2025.

Seperti diketahui, pasukan Monster Yamaha dan satelitnya, Pramac Yamaha memperkenalkan seragam baharu pasukan itu bagi musim 2025 di Kuala Lumpur, semalam.

"Sebagai pelumba MotoGP, kamu sentiasa teruja untuk memulakan musim baharu, cuba jentera baharu, dan melihat liveri baharu beraksi, dan saya perlu katakan yang saya amat menggemari liveri baharu dan tambahan biru ini. Saya fikir ia akan nampak bagus di litar," kata Quartararo memetik laporan bikesportnews.com.

"Tetapi kali ini ujian pertama akan lebih mengujakan bagi kami kerana Yamaha akan memulakan projek yang besar bersama Pramac.

"Saya tahu semua orang teruja untuk melihat kami bekerja bersama pada ujian pra-musim ini, dan perkara ini membuatkan saya lebih bermotivasi.

"Saya tidak berhenti untuk berlatih, jadi saya berada di tahap yang baik. Saya fikir saya berada di tahap kecergasan terbaik saya, dan saya tidak sabar untuk memulakan ujian pra-musim.

"Lebih cepat kami bermula, lebih cepat kami dapat pergi berlumba, dan lebih awal kita akan dapat melihat peminat bersorak untuk kami sekali lagi."