FABIO Quartararo Terbuka Dengan Tawaran 'Sesiapa Saja'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/8/20241 min read

YAMAHA berdepan 'tamparan' sebelum kempen MotoGP 2024 membuka tirainya apabila bintangnya, Fabio Quartararo mendedahkan dia terbuka dengan sebarang tawaran pasukan lain.

Pengeluar Jepun itu, yang memenangi kejuaraan dunia 2021 bersama Quartararo mengharungi musim pertama tanpa sebarang kemenangan tahun lalu sejak 2003.

Selepas menamatkan kempen di tangga ke-10 musim lalu, pelumba kelahiran Perancis itu nampak tidak terburu-buru untuk menandatangani kontrak baharu bersama Yamaha yang dijadual berakhir hujung musim ini.

"Tidak, tiada sebarang tarikh akhir. Tiada sebarang perbincangan yang rasmi dengan Yamaha setakat ini," kata Quartararo memetik laporan Crash.net.

"Jadi saya fikir saya akan memerlukan sedikit masa untuk melihat projek ini juga, mentaliti pasukan, bagaimana ia berjalan dengan jurutera-jurutera baharu ini.

"Ketika ini, saya boleh katakan yang mereka melakukan banyak langkah... Tetapi saya fikir kami perlu mendengar kepada semua orang."

Ketika ini, Yamaha dalam fasa untuk mengembalikan kegemilangan pasukan itu dan antara langkah yang dibuat adalah menggaji beberapa jurutera penting dari Ducati antaranya Marco Nicotra dan Max Bartolini.

Mengulas lanjut, Quartararo percaya yang peraturan baharu konsesi MotoGP yang turut membabitkan Yamaha akan memacu kebangkitan jentera Yamaha M1.

"Saya fikir ia amat penting, terutama berapa banyak yang kami boleh ubah terhadap jentera," katanya. "Untuk mendapat lebih banyak ujian ketika musim sedang berjalan adalah hebat... juga kerana kami hanya mempunyai dua jentera."

Seperti musim lalu, Yamaha sekali lagi mengharungi kempen tanpa bantuan pasukan satelit dengan Alex Rins tiba di pasukan itu menggantikan Franco Moprbidelli.

"Sukar untuk menjangkakan bila jentera ini akan bersedia," kata Quartararo ketika mengulang adalah Yamaha M1 mampu meraih kemenangan pada musim ini.

"Tahun lalu kami tidak mampu meraih keputusan lebih baik berbanding tempat ketiga. Jadi harapnya kami boleh bersaing untuk kemenangan musim ini ketika kami rasa kami mampu melakukannya."