FABIO Quartararo Terus Buat Yamaha Resah!

Selepas meraih gelaran pada 2021, prestasi Yamaha berterusan merudum dengan Fabio Quartararo pada musim lalu hanya berjaya meraih satu podium, manakala Yamaha pula jatuh ke kedudukan tercorot dalam carta pengeluar

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/24/20261 min read

JUARA dunia MotoGP 2021, Fabio Quartararo mengakui perjalanan hala tuju kariernya kini berubah ketika kontraknya bersama Yamaha bakal berakhir hujung musim ini.

Pelumba Perancis itu sebelum ini menandatangani kontrak lumayan bernilai sekitar € 12 juta setahun untuk tempoh 2025/2026, selepas menolak tawaran daripada Aprilia.

Tetapi sepanjang tempoh itu, Quartararo hanya berjaya meraih satu podium, manakala Yamaha pula jatuh ke kedudukan tercorot dalam carta pengeluar.

Dalam dokumentari terbaharu di motogp.com, Quartararo mendedahkan bahawa matlamat asalnya adalah untuk 'mengembalikan keputusan cemerlang kepada Yamaha' namun fokusnya lebih kepada kepentingan peribadi.

Kata Quartararo, satu-satunya perkara yang boleh meyakinkannya ialah apabila dia menunggang dan merasakan dia laju serta dapat menikmati perlumbaan.

Yamaha yang bakal menggunakan enjin V4 buat pertama kali musim ini berharap perubahan teknikal itu mampu mengembalikan daya saing pasukan.

Namun, maklum balas Quartararo terhadap jentera baharu itu setakat ini tidak begitu mengujakan khususnya motosikal kompetitif dengan segera, berbeza dengan pendekatan pembangunan berperingkat yang diambil Yamaha.

Ujian pra-musim di Sepang dan Buriram dilihat sebagai peluang terakhir Yamaha untuk meyakinkan Quartararo untuk dia terus bersama mereka. Bagaimanapun, ketika pelancaran liveri dan jentera pasukan itu minggu lalu, Yamaha menegaskan bahawa rundingan kontrak baharu bagi musim 2027 masih belum dimulakan.

Quartararo kini dikaitkan dengan perpindahan ke Honda, Aprilia dan Ducati – tiga jenama yang menawarkan alternatif lebih kompetitif berbanding Yamaha.