'FAHAM Kenapa Ducati Pilih Marc Marquez'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/12/20251 min read

KEPUTUSAN Ducati Corse memilih Marc Marquez berbanding Jorge Martin adalah sesuatu yang 'boleh difahami'.

Menariknya, kata-kata itu keluar bukan daripada sekutu Marquez, tetapi daripada mulut Pengarah Sukan Pramac, Fonsi Nieto yang juga rakan baik Martin.

Selepas menyisihkan Martin, pelumba kelahiran Sepanyol itu akhirnya menjulang gelaran dunia bersama Pramac Ducati dengan Marquez menamatkan kempen di kedudukan ketiga keseluruhan.

Dan tindakan itu turut menyaksikan Martin bertindak menyertai Aprilia.

"Ia tempoh yang sukar buatnya," kata Nieto kepada Europa Press. "Saya sentiasa berkata yang Jorge mempunyai tiga tempoh sukar dalam karier MotoGP, kemalangan di Portugal yang benar-benar membuatkannya berfikir untuk bersara, pemilihan Enea Bastianini dan kemudian Marquez.

"Saya fikir kesemua itu menjadi detik paling sukar dan dia perlu tahu bagaimana cara untuk mengatasinya dan menjadikannya sebagai motivasi, dan ia tidak sentiasa mudah.

"Ducati ketika ini berada dalam tempoh kejayaan dan mereka akan terus bersaing untuk menang. Tetapi sudah tentu, tidak mudah untuk mereka memutuskan untuk kehilangan pelumba seperti Jorge, juara dunia.

"Tetapi kita juga bercakap mengenai Marc Marquez, juara dunia lapan kali, nama yang amat besar. Jadi boleh difahami mengapa mereka memilih Marquez.

"Dengan Marc kamu sentiasa boleh bergantung harap kerana dia adalah salah seorang pelumba terbaik dalam sejarah. Sejak dia datang ke kejuaraan ini, kamu sentiasa boleh meletakkan harapan kepadanya untuk gelaran.

"Ia akan menjadi persaingan yang baik di antara Pecco Bagnaia dan dia (Marc) di Ducati. Tetapi saya berharap Jorge juga dapat bersaing dengan mereka."