'FAIRING', 'Winglet' Baru Yamaha Amat Menarik, Tapi Enjin Isu Utama - Quartararo

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/9/20232 min read

JAGOAN Yamaha, Fabio Quartararo mengakui teruja selepas jenteranya dipasang pelbagai komponen baharu antaranya 'Fairing' dan 'Winglet' lebih besar serta agresif ketika Grand Prix (GP) British tetapi tetap menegaskan, isu utama pasukan itu adalah di bahagian enjin.

Seperti tak kisah mengenai keputusan yang bakal diperoleh di Silverstone selepas Quartararo terpaksa memulakan perlumbaan di petak tercorot, Yamaha tampak menjadikan perlumbaan itu sebagai medan uji kaji buat pasukan.

Selain 'Fairing' dan 'Winglet' baharu, turut digunakan adalah corong angin bergaya Ducati selain sistem suspensi belakang dan lengan ayun yang baharu, komponen yang belum pernah diuji pasukan itu sebelum ini.

"Saya kata kita perlu mencuba, terutama untuk melihat bagaimana 'fairing' ini berfungsi kerana ada begitu banyak perubahan arahan di sini," kata Quartararo.

Sekalipun pakej aerodinamik itu dikatakan mengehadkan kelajuan jentera Yamaha di laluan lurus, Quartararo tetap merasakan 'fairing' baru itu lebih baik daripada tiga 'fairing' yang digunakan sebelum ini.

Sekalipun bermula di petak ke-22, Quartararo berjaya memintas tujuh pelumba di depannya seawal pusingan pertama dan berjaya berada di kedudukan ke-7 selepas hujan mulai turun.

Tetapi pelanggaran dengan Luca Marini yang mengakibatkan kerosakan kepada jenteranya dan memaksa pelumba kelahiran Perancis itu kembali ke pit dan terpaksa berpuas hati dengan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-15.

Meskipun pakej aero baharu turut memberi pandangan yang enjin baharu Yamaha bagi musim 2023 lebih berkuasa, tetapi hakikat pahit perlu diakui adalah ia masih jauh ketinggalan berbanding enjin yang digunakan pengeluar Eropah.

"Kami melakukan perbincangan dan bagi saya, jelas, nombor satu (isu) setakat ini adalah enjin. Kerana seseorang kata, ya, jika kamu melihat kepada kelajuan, kamu tidak jauh. Tetapi hari ini (perlumbaan), mereka memintas saya seperti 'petikan jari' dengan mudah.

"Mungkin ia hanya perbezaan 10 km/j tetapi pakej aero mereka (jentera Eropah) yang mereka gunakan besar. Jika kami guna aero yang sama, ia akan lebih perlahan. Ini bermakna enjin kami perlahan.

"Jadi pada akhirnya, enjin adalah keutamaan kerana kami perlu menggunakan (rekaan yang sama) sejak dari awal musim sehingga penghujung. Kemudian jika kamu mahu menambah aero, kurang aero, mengubang casis, ekzos atau apa saja, kamu boleh lakukan ketika musim sedang berjalan.

"Tetapi enjin adalah nombor satu yang kami perlu perbaiki, untuk bertarung (kejuaraan 2024).

Sumber imej: FB Fabio Quartararo