FARID Kamil Kini Bergelar Pemilik Kedai Motosikal Elektrik!

Farid yang juga seorang usahawan membuka kedai jualan motosikal elektrik di bawah syarikat NEO FK Sdn Bhd bersama dua rakan kongsi bersama sokongan kerjasama strategik daripada GGR Motor

PELANCARAN

9/17/20251 min read

PELAKON dan pengarah filem terkenal, Farid Kamil Zahari mencipta sejarah apabila bergelar artis pertama di Malaysia yang bergelar pemilik kedai jualan motosikal elektrik menerusi pembukaan rasmi GGR x NeoFK.

Farid yang juga seorang usahawan membuka kedai jualan motosikal elektrik di bawah syarikat NEO FK Sdn Bhd bersama dua rakan kongsi, Abdullah Sani Abu dan Mohammad Nor Hakim serta dengan sokongan kerjasama strategik daripada GGR Motor.

Bertempat di alamat 69-G, Seria 88 Business Center, Jalan Setia Perdana U13/BA, Bandar Setia Alam, perasmian kedai berkenaan disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Farid, 44, yang terkenal dengan watak Madi dalam filem Rem-it berkata dia sangat bersyukur dengan pembukaan kedai berkenaan.

"Saya menyasarkan syarikat akan mencapai jualan melebihi 1,000 unit dalam masa empat bulan pertama selepas pelancaran, khususnya di kawasan Setia Alam yang semakin berkembang sebagai hab gaya hidup moden," kata Farid.

"Saya percaya inilah masanya rakyat Malaysia mula beralih kepada kenderaan elektrik. Sasaran kami bukan sahaja dari sudut jualan, tetapi juga membina satu gaya hidup baharu gaya hidup hijau."

Amirudin dalam pada itu memuji usaha yang dilakukan Farid dan berkata transformasi ke arah ekonomi hijau kini pilihan semata-mata, sebaliknya satu keperluan untuk memastikan daya saing Malaysia di peringkat global.

"Untuk menjayakan transformasi ini, kita tidak boleh hanya bergantung kepada polisi atau cukai kerajaan. Rakyat juga perlu mempunyai kesedaran tinggi, dan industri pula perlu berani melabur serta memperkenalkan produk yang relevan.

"Walaupun langkah ini kelihatan kecil sekadar satu kedai baharu, tetapi ia sebenarnya memberi impak besar dalam membentuk ekosistem mobiliti hijau di Malaysia."

Serentak dengan majlis perasmian itu, turut dilancarkan model istimewa versi GGR x Farid Kamil NeoFK yang ditawarkan pada harga asal RM 3,999 seunit.

Tetapi di bawah program MARiCass, pembeli boleh menerima rebat sejumlah RM 2,400 yang menyaksikan harga jualan motosikal berkenaan menjadi RM 1,569.

Begitupun, rebat yang boleh dipohon sehingga Disember 2025 itu datang dengan syarat iaitu pemohon berpendapatan tahunan tidak melebihi RM 100,000.