FARISH Hafiy Naik Podium Aksi Penuh 'Drama' Di Mandalika

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/28/20241 min read

PELUMBA negara, Farish Hafiy sekali lagi menaiki podium selepas menamatkan Perlumbaan 1 kejuaraan Asia Talent Cup (2024) di Mandalika, Indonesia di tempat ketiga, hari ini.

Seperti diketahui, pelumba kelahiran Selangor itu menamatkan penantiannya untuk berada di podium pada Perlumbaan 2 Pusingan 2 di Sepang, bulan lalu.

Begitupun, keputusan yang diraih pelumba berusia 16 tahun itu boleh dikatakan cukup sukar apabila ia terpaksa ditentukan semula oleh penganjur kejuaraan susulan insiden yang berlaku di pusingan terakhir perlumbaan.

Memulakan perlumbaan di petak ketiga, Farish sememangnya menampikan persembahan positif dan sentiasa bersaing di kelompok depan malah beberapa kali turut memimpin saingan sebelum berlaku insiden di pusingan terakhir.

Mungkin terdesak memburu podium di laman sendiri, tunggangan agresif pelumba tuan rumah, Kiandra Ramadhipa menghasilkan 'drama' yang tidak sepatutnya berlaku termasuk insiden membabitkan Farish.

Insiden bermula apabila Ramadhipa menghimpit Farish dengan tindakan itu turut menyaksikan pelumba Thailand, Kiattisak Singhapong terbabas.

Gerakan agresif pelumba itu berterusan apabila dia menghimpit pula pelumba Jepun, Ryota Ogiwara yang turut berdepan detik cemas apabila terjatuh dengan jenteranya hampir merempuh Farish sebelum menuju dinding litar.

Justeru, sekalipun Ramadhipa melepasi garisan penamat di tempat ketiga, kegembiraan itu tidak lama selepas ia ditarik semula susulan penalti enam saat yang dikenakan kepadanya atas kesalahan tunggangan secara merbahaya.

Dan keputusan itu menyaksikan Farish yang melepasi garisan penamat di tempat keempat dan di luar garisan perlumbaan dinaikkan sebagai pemenang tempat ketiga.

Dalam pada itu, dua lagi pelumba negara yang turut beraksi di ATC musim ini, Asyraff Zaquan dan Farhan Naqib masing-masing menamatkan perlumbaan di luar pungutan mata mata iaitu di tangga ke-18 dan ke-19.