FARISH Hafiy, Qabil Irfan Ketuai 'Skuad' Negara Ke Sepanyol

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/9/20231 min read

KEJUARAAN Siri FIM MiniGP Malaysia 2023 menutup tirainya, semalam yang menyaksikan Farisy Hafiy dan Qabil Irfan menjuarai gelaran keseluruhan kelas masing-masing sekaligus mengetuai 'skuad' negara ke Kejuaraan Akhir Dunia FIM MiniGP di Valencia, Sepanyol bulan depan.

Farisy Hafiy tampil cemerlang dengan menjuarai gelaran keseluruhan kelas 190cc Siri FIM MiniGP Malaysia 2023 manakala Qabil Irfan menjuarai gelaran keseluruhan 160cc.

Turut meraih tiket sama dalam kelas 190cc adalah naib juara dan pemenang tempat ketiga yang menjadi milik Faresh Putra dan Emil Idzhar.

Dalam kelas 160cc, selain Qabil Irfan, turut layak adalah naib juara Ariel Marzuki.

Dalam aksi Pusingan 5 yang juga pusingan penutup tirai di Litar Antarabangsa Kart Sepang, semalam, Farish Hafiy cemerlang memenangi kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan.

Begitupun, dia yang mengumpul keseluruhan 208 mata berdepan saingan hebat daripada Farres Putra yang mengumpul 196 mata.

Tak berjaya menamatkan Perlumbaan 1 kerana terjatuh, Emil Idzhar berjaya mengatasi Adi Putra untuk tempat ketiga keseluruhan selepas mendapat tempat ketiga pada Perlumbaan 2 untuk menamatkan musim dengan 136 mata.

Qabil Irfan dari Terengganu dalam pada itu cemerlang mengulangi kejayaan musim lalu dan tampak berada di kelas tersendiri dalam kelas 160cc apabila memenangi kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan.

Cukup dominan, Qabil mengumpul keseluruhan 245 mata manakala Airel Marzuki, yang menamatkan kedua-dua perlumbaan di tangga kedua dan mengesahkan slot ke Sepanyol selepas mengumpul 184 mata.

Sementara itu, kempen SIC Ohvale Junior Championship 2023 menobatkan Aidil Zariff sebagai juara keseluruhan kelas berkenaan.

Pengurus Pasukan ZK Racing yang juga penganjur kejuaraan, Zulfahmi Khairuddin berkata pihaknya akan terus bekerja keras untuk menyiapkan skuad knegara ke Sepanyol dengan sebaik mungkin.

"Kita perlu memastikan persiapan yang rapi bagi memastikan anda semua berada pada prestasi yang terbaik untuk mencipta kejayaan buat Malaysia," katanya yang mengucapkan terima kasih kepada semua yang terbabit dengan kejohanan berkenaan.