FASA Kritikal Pemburuan Gelaran Dunia MotoGP Bermula Di Jepun - Jorge Martin
Jorge Martin akan memulakan aksi di Jepun sebagai pendahulu carta kejuaraan, dengan kelebihan 12 mata di hadapan juara bertahan dari pasukan Ducati Lenovo, Marc Marquez hasil podium berganda di Red Bull Ring, Austria
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/30/20261 min read


PELUMBA Aprilia, Jorge Martin menyifatkan Pusingan 16 Grand Prix (GP) Jepun di litar Motegi pada minggu ini sebagai fasa yang 'sangat penting' dalam misi memburu gelaran dunia MotoGP musim 2026.
Pelumba kelahiran Sepanyol itu akan memulakan aksi di Jepun sebagai pendahulu carta kejuaraan, dengan kelebihan 12 mata di hadapan juara bertahan dari pasukan Ducati Lenovo, Marc Marquez hasil podium berganda di Red Bull Ring, Austria.
Perlumbaan di Motegi bakal menyingkap tirai jadual perlumbaan luar Eropah yang cukup mencabar dan menuntut ketahanan fizikal tinggi buat pelumba, membabitkan 5 perlumbaan yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh 6 minggu berturut-turut.
Begitupun berbaki 7 pusingan untuk musim ini, perebutan merebut kejuaraan bukan hanya tertumpu kepada 2 pelumba teratas memandangkan rakan sepasukan Martin, Marco Bezzecchi turut mengekori dengan perbezaan 42 mata, manakala pelumba sensasi KTM, Pedro Acosta di kedudukan ke-4 (ketinggalan 72 mata).
Malah, barisan pemenang Grand Prix musim 2026 yang lain seperti Fabio di Giannantonio (VR46 Ducati), Ai Ogura, Raul Fernandez (Trackhouse Aprilia) dan Alex Marquez (Gresini Ducati) turut dilihat memiliki kemampuan untuk merampas mata-mata penting daripada kelompok calon pendahulu kejuaraan itu.
"Siri jelajah Asia kini bermula dan kami menghadapinya pada masa yang sangat tepat. Kami bekerja dengan sangat baik sebagai satu pasukan, dan saya mahu berterima kasih kepada Aprilia atas tugas cemerlang yang mereka lakukan," kata Martin yang memutuskan untuk tidak menjalani pembedahan 'arm pump' selepas kejayaannya di Austria.
Kata Martin, pasukannya perlu meneruskan rentak cemerlang itu dengan mengekalkan tahap konsistensi serta kekal fokus kepada objektif utama.
Menjelang aksi di Motegi, Aprilia pastinya berharap insiden ngeri pada perlumbaan Sprint pada tahun lalu tidak akan berulang, di mana Martin terpaksa berputih mata susulan patah tulang selangka akibat merempuh Bezzecchi di selekoh pertama.

