FASA Pemulihan Alex Marquez Bermula, GP Jerman Dalam Jangkauan?
Jaguh pasukan Gresini Ducati, Alex Marquez mengumumkan perkembangan positif mengikuti pembedahan tangannya susulan kemalangan yang berlaku di GP Belanda 2025 di Assen, hujung minggu lalu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/3/20251 min read


PELUMBA Gresini Ducati, Alex Marquez mengumumkan perkembangan positif mengikuti pembedahan tangannya susulan kemalangan yang berlaku di GP Belanda 2025, hujung minggu lalu.
Alex berdepan kecederaan agak serius apabila terjatuh berikutan dengan sentuhan dengan pelumba KTM, Pedro Acosta dan pelumba kelahiran Sepanyol itu pantas menjalani pembedahan bagi membetulkan kecederaaanya.
“Berita baik dari pemeriksaan pertama saya selepas pembedahan,” kata Alex di media sosialnya. “Proses pemulihan pun bermula.”
Begitupun, pelumba itu tidak meletakkan tarikh kepulangan semulanya dengan kempen seterusnya - GP Jerman di Sachsenring — hanya seminggu setengah lagi (11–13 Julai) yang menyaksikannya memiliki seminggu setengah untuk berehat dan menjalani proses pemulihan.
Setakat ini, kemungkinan untuk Alex kembali beraksi di Jerman masih terbuka, sekurang-kurangnya untuk menjalani pemeriksaan perubatan dan sesi ujian pada Jumaat.
Tetapi dengan Sachsenring terkenal sebagai antara litar paling mencabar dari segi fizikal, ia pasti menjadi cabaran besar bagi pelumba yang masih dalam fasa pemulihan.
Selepas Jerman, GP Rep Czech di Brno dijadual berlangsung seminggu berselang yang menjadi perlumbaan terakhir sebelum kempen MotoGP berehat selama sebulan.
Ketika ini, Alex menghuni kedudukan kedua keseluruhan dalam kejuaraan, 68 mata di belakang abangnya Marc Marquez dengan jurang antara kedua-duanya meningkat berikutan kemalangan di Assen.
