FERMIN Aldeguer Ada Peluang Sertai Yamaha
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/19/20241 min read


'ROOKIE' Ducati, Fermin Aldeguer mendedahkan dia berpeluang untuk menyertai pengeluar Jepun, Yamaha pada penampilan sulungnya di MotoGP dan menariknya lebih awal.
Pelumba kelahiran Sepanyol itu sah menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini Racing bagi menghadapi kempen MotoGP musim depan sekalipun prestasinya di Moto2 musim ini tidak begitu mengujakan.
Ia berikutan kontrak yang sudah pun dimuktamadkan lebih awal selepas dia tampil dengan prestasi menarik pada penampilan sulungnya di Moto2 pada musim 2023.
"Ketika Grand Prix Malaysia 2023, Luca Marini ada berhubung dengan Honda. Ketika itu juga saya berada di tahap terbaik dan Pablo Nieto (Pengurus VR46) memberitahu saya mengenai peluang untuk pergi ke MotoGP bersama mereka pada 2024," kata Aldeguer memetik laporan GPOne.
"Kami bercakap dan berbincang, tetapi amat sukar untuk saya melepaskan kontrak dengan Boscoscuro, yang sudah pun diperbaharui secara automatik. Yamaha amat berminat, kerana mereka mahu mempunyai lebih banyak jentera di grid.
"Apabila Pablo Nieto mahu saya berlumba dengan pasukannya, mereka bercakap dengan Yamaha. Sebagai pelumba, saya fikir ia pilihan yang cukup baik.
"Tetapi segala-galanya berubah dan pada akhirnya, Pramac adalah pasukan yang menjalinkan kerjasama dengan Yamaha."
Berusia 19 tahun, Aldeguer adalah pelumba termuda di grid MotoGP 2025.
