FERMIN Aldeguer Rasmi Dinamakan Pelumba Gresini Ducati 2025

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/28/20241 min read

DUCATI Corse akhirnya secara rasmi menamakan pelumba muda berbakat Sepanyol, Fermin Aldeguer sebagai pelumba pasukan satelitnya, Gresini Ducati bagi kempen MotoGP musim depan.

Pengumuman berkenaan - yang sudah pun boleh diagak lebih awal - melengkapkan senarai enam pelumba yang menggunakan jentera Ducati musim depan.

Berusia 19 tahun, Aldeguer berjaya memikat Ducati Corse menerusi persembahan menakjubkan terutama pada penghujung musim lalu yang menyaksikannya menjuarai empat perlumbaan terakhir termasuk GP Malaysia.

Begitupun, prestasinya sedikit terumbang ambing pada musim ini dan hanya mengisi tangga ke-5 carta kedudukan Moto2 dan ketingalan lebih 50 mata di belakang pendahulu.

Mengisi kekosongan ditinggalkan Marc Marquez, Aldeguer dijangka akan bergandingan dengan ketua krew Frankie Carchedi yang membantu Joan Mir menjulang gelaran dunia MotoGP pada 2020 bersama Suzuki selain akan menunggang jentera Ducati GP24.

"Saya benar-benar gembira untuk menyertai keluarga Gresini, ini adalah peluang yang menakjubkan untuk membuat debut MotoGP saya dengan jentera terbaik di grid dan beraama pasukan yang mengagumkan yang mempunyai ramai pelumba-pelumba ikonik," kata Aldeguer.

"Saya berharap untuk dapat mengadaptasi GP24 dengan pantas. Kami akan mengambil pendekatan selangkah demi selangkah, tetapi saya tidak sabar untuk menunggu ujian pertama bagi musim baharu di Valencia.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Nadia (Padovani) dan Gigi atas kepercayaan mereka, dan saya akan membalasnya."

Tidak seperti rakan sepasukannya Alex Marquez yang memiliki kontrak bersama pasukan, Aldeguer menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Ducati Corse.

"Satu penghargaan untuk mengalu-alukan salah seorang bakat muda dalam siri ini dan sasaran kami adalah untuk melindunginya dan membantunya unttuk mendapatkan keputusan yang membezakan kami," kata Nadia.

"Dia akan bersama kami untuk dua musim berikutnya dan Ducati juga akan kekal di garaj kami sekurang-kurangnya sehingga 2026. Kegembiraan berganda untuk kami, jadi selamat datang Fermin!"

Selepas beberapa musim termasuk musim ini, kehadiran Aldeguer menyaksikan gelaran 'rookie' terbaik di MotoGP akan kembali dipertandingkan selepas Ai Ogura turut mengesahkan tempatnya bersama Trackhouse lebih awal.