FERMIN Aldeguer Sertai VR46 Ducati
Perjanjian yang mengikat Fermin Aldeguer sehingga penghujung 2028 turut melakar sejarah tersendiri apabila pelumba Sepanyol itu muncul pelumba bukan asal Itali pertama mewakili VR46 Ducati, selain bakal menunggang jentera spesifikasi kilang
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/26/20261 min read


PASUKAN VR46 Ducati milik legenda MotoGP Itali, Valentino Rossi secara rasmi mendapatkan tandatangan pelumba muda Sepanyol, Fermin Aldeguer bagi mengharungi kempen Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim 2027.
Perjanjian yang mengikatnya sehingga penghujung 2028 turut melakar sejarah tersendiri apabila Aldeguer muncul pelumba bukan warga Itali pertama mewakili VR46 Ducati, selain bakal menunggang jentera spesifikasi kilang.
Menyifatkan langkah itu sebagai satu pencapaian luar biasa dalam kariernya, Aldeguer mengakui Rossi sentiasa menjadi idola dan ikutan, malah yakin bimbingan legenda berkenaan akan membantunya menjadi pelumba yang lebih matang di litar.
"Dengan pengenalan peraturan baharu bagi musim 2027, matlamat saya adalah untuk segera menyesuaikan diri dengan jentera dan tayar baharu. Mendapat sokongan jentera kilang pastinya membantu kami menyasarkan penamat di kelompok lima teratas secara konsisten," katanya.
Sebagai rekod, Aldeguer yang muncul juara Grand Prix (GP) Indonesia pada musim debutnya tahun lalu, mengharungi kempen agak mencabar musim ini susulan kecederaan patah tulang paha pada Januari, namun berjaya meraih podium di Catalunya dengan menunggang jentera lama GP25 sebelum kembali tercedera di Assen.
Sementara itu, Pengurus Pasukan VR46 Ducati, Pablo Nieto menegaskan, pihaknya menaruh kepercayaan penuh terhadap kemampuan Aldeguer selepas melihat potensinya memenangi perlumbaan pada tahun pertama di kelas perdana dan bersedia memberi sokongan menyeluruh buatnya.
Bagi mengharungi era baharu MotoGP dengan jentera 850 cc kelak, Aldeguer yang dijangka kembali beraksi di GP Aragon hujung minggu ini susulan kecederaan belakang, disebut-sebut bakal bergandingan dengan pendahulu kejuaraan WorldSBK, Nicolo Bulega.
Perkembangan terbaharu ini menyusul selepas pemenang GP Catalunya, Fabio di Giannantonio disahkan berhijrah ke pasukan kilang KTM musim depan, manakala Franco Morbidelli pula dijangka beralih ke kancah WorldSBK bagi menggantikan tempat Bulega di pasukan Aruba.it Ducati.

