FERMIN Aldeguer Tak Sedar Bezzecchi, Marc Dah Jatuh
Kejayaan Fermin Aldeguer di Mandalika menyaksikannya menjadi kedua termuda meraih kemenangan dalam kelas elit MotoGP di belakang Marc Marquez dan bergelar pelumba rookie kedua menang selepas Jorge Martin
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/5/20251 min read


JUARA perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Indonesia 2025, Fermin Aldeguer mengakui dia tidak menyedari pencabar utamanya di Mandalika, Marco Bezzecchi dan idolanya Marc Marquez terjatuh seawal pusingan pertama perlumbaan.
Aldeguer yang juga rookie MotoGP musim ini tampil dengan persembahan cukup dominan ketika meraih kemenangan di Indonesia sekali gus menjadi kedua termuda meraih kemenangan dalam kelas elit itu di belakang Marc.
Kejayaan pelumba pasukan Gresini Ducati itu menyaksikannya mengulangi pencapaian penyandang juara, Jorge Martin yang melakukannya pada 2021.
“Saya tunggu Bezzecchi sepanjang perlumbaan, tetapi dia langsung tidak muncul. Saya tak tahu dia terjatuh,” kata Aldeguer selepas perlumbaan memetik laporan GPOne.
Apa yang menarik, ketidaktahuan itu menjadi kunci kepada konsistensi dan fokusnya sepanjang 27 pusingan perlumbaan.
Selepas memintas pelumba Honda HRC, Luca Marini, Aldeguer kemudian memotong pelumba Red Bull KTM Pedro Acosta pada pusingan ketujuh untuk mendahului perlumbaan dan kekal di depan sehingga garisan penamat.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini, lebih-lebih lagi selepas hujung minggu yang mencabar. Saya terjatuh semasa latihan bebas dan terlepas sesi penting. Tapi kami bangkit semula,” katanya.
Aldeguer turut memuji tayar belakang baharu yang digunakan, yang menurutnya memberi kelebihan berbanding jentera Ducati lain.
“Saya belajar banyak daripada Bezzecchi semalam. Hari ini saya cuba ulang gerakan yang sama dan berjaya. Saya tidak tahu dia dan Marc terjatuh, tapi bila saya lihat jurang masa semakin besar, saya mula syak sesuatu,” katanyanya.
Insiden kemalangan Bezzecchi dan Marquez berlaku di pusingan pertama, namun Aldeguer tidak menyedarinya kerana tiada skrin paparan di trek.
“Saya cuba tengok satu skrin, tapi bayang-bayang menghalang. Bila jurang masa saya naik mendadak, saya tahu sesuatu berlaku. Tapi saya tak mahu fikir mereka terjatuh,” katanya yang menjelaskan dia tetap berhati-hati.
