FERMIN Aldeguer Takluk Mandalika

Selepas hampir bergelar juara perlumbaan Sprint, semalam, pelumba rookie, Fermin Aldeguer mencipta sensasi apabila menamatkan perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Indonesia 2025 dengan penuh bergaya sebagai juara

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/5/20252 min read

PELUMBA rookie, Fermin Aldeguer mencipta sensasi apabila menamatkan perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Indonesia 2025 dengan penuh bergaya apabila merangkul kemenangan sulungnya dalam kelas perdana itu di Mandalika, hari ini.

Pelumba Gresini Ducati mempamerkan persembahan cukup berbisa sejak perlumbaan dimulakan dan mendahului dari awal hingga ke garisan penamat.

Kemenangan itu hadir sehari selepas pelumba berusia 20 tahun itu dinafikan kemenangan dalam perlumbaan Sprint oleh pelumba Aprilia, Marco Bezzecchi.

Tetapi nasib tidak menyebelahi juara Perlumbaan Sprint, Bezzecchi dalam perlumbaan utama apabila pelumba dia terbabit dalam insiden pada pusingan pertama yang menyaksikannya melanggar belakang jentera juara dunia tujuh kali MotoGP, Marc Marquez di selekoh ketujuh.

Bezzecchi terselamat tanpa kecederaan serius, tetapi Marquez dilaporkan mengalami kecederaan pada lengan kanan.

Dengan penyingkiran awal Bezzecchi dan Marc, Aldeguer memanfaatkan peluang untuk membuka jurang besar, meninggalkan pelumba lain jauh di belakang.

Persaingan sengit berlaku di kelompok podium yang menyaksikan Pedro Acosta dari Red Bull KTM berjaya mengekalkan tempat kedua, manakala Alex Marquez yang juga rakan sepasukan Aldeguer berjaya melakukan serangan akhir untuk merampas tempat ketiga.

Antara pelumba lain yang pada satu ketika merebut kedudukan podium termasuklah Luca Marini (Honda HRC), Alex Rins (Monster Yamaha) dan Raul Fernandez (Trackhouse Aprilia) tetapi tidak berjaya.

Selain Bezzecchi dan Marc, turut mengalami kemalangan adalah juara di Motegi, Francesco Bagnaia, Joan Mir (Honda HRC) dengan Enea Bastianini mengalami masalah jentera.

Hanya 19 pelumba berada di grid perlumbaan GP Indonesia 2025 dengan pelumba Thailand, Somkiat Chantra turut kembali mengutip mata selepas menamatkan perlumbaan di tempat ke-13.

Kempen MotoGP akan berehat seminggu sebelum bersambung di Grand Prix Australia di Phillip Island dari 17 hingga 19 Oktober.

Keputusan Perlumbaan MotoGP GP Indonesia 2025

  1. Fermin Aldeguer (SPA) Gresini Ducati

  2. Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM

  3. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati

  4. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM

  5. Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol

  6. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia

  7. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha

  8. Franco Morbidelli (ITA) Pertamina VR46 Ducati

  9. Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati

  10. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha

  11. Miguel Oliveira (POR) Pramac Yamaha

  12. Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR

  13. Somkiat Chantra (THA) Idemitsu Honda LCR

  14. Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha

Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3, DNF

Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo, DNF

Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol, DNF

Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Factory, DNF

Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo, DNF