FGRT Project One Ungguli Kelayakan SBK Elite ESEB 2025, Silver Steed Terpantas SBK Novice!
FGRT Project One yang menggunakan jentera Ducati Panigale V4 melakukan catatan terpantas 1 minit (m) 05.159 saat (s) yang dibuat pada pusingan keempat untuk meletakkan jentera mereka di kedudukan paling depan ketika perlumbaan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/15/20251 min read


PASUKAN FGRT Project One mengungguli sesi kelayakan kelas SBK Elite kejuaraan ESTREMO Superbike Endurance 2025 by Braaap (ESEB) menerusi gandingan Mohd Azlly Shaari dan Mohd Fahmi Abdul Wahab di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (trek Selatan), hari ini.
Menggunakan jentera Ducati Panigale V4, FGRT Project One melakukan catatan terpantas 1 minit (m) 05.159 saat (s) yang dibuat pada pusingan keempat daripada 12 pusingan dan meletakkan jentera mereka di kedudukan paling depan ketika perlumbaan.
Catatan kedua terpantas menjadi milik pasukan JS Racing menerusi gandingan Tobias Krebs-Chan Qing Rong yang merakam masa 1m05.581s.
Sementara itu, pasukan NOMONEY RACING WITH ESTREMO yang menampilkan pempengaruh automotif terkenal, Mohd Ahmad Hawash Khan atau lebih dikenali sebagai Ahmad Khan bergandingan dengan Amin Ariff Ashaari Abdul Aziz, melengkapkan barisan hadapan dengan catatan 1m 05.639s.
Saingan dalam kelas SBK Novice pula menyaksikan pasukan Silver Steed Racing mendominasi sesi kelayakan. Gandingan pelumba dari Macau, Ao Ieong Fu dan Hu Zhaoneng, terbukti sukar digugat apabila mencatatkan 1m 06.394s pada pusingan kesembilan.
Kedua terpantas dilakukan pasukan BAIKBIE CYCLEWORKS RACING menerusi Kamarul Izad Ishak-Muhammad Fareez Borhanudin dengan masa 1m 07.157s.
Pasukan dari Hong Kong, HKG RACING, menerusi pelumba Chow Kwai San dan Chau Chi Chuen, mencatatkan masa ketiga terpantas dengan 1m 07.933s.
Sebagai info, edisi sulung kejuaraan ESTREMO Superbike Endurance 2025 by Braaap menggunakan format permulaan seperti perlumbaan enduran terkemuka 'Le Mans' dan Suzuka 8 Hours dalam Kejuaraan Endurance Dunia (EWC).
Situasi itu menyaksikan kesemua pelumba bersedia di seberang litar dan perlu berlari ke jentera masing-masing untuk memulakan perlumbaan, satu format yang pastinya menguji kepantasan dan kecergasan pelumba.
