FIM MiniGP Malaysia 2024: Qabil Irfan Kuasai Pusingan 2 Di Sepang

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/9/20242 min read

QABIL Irfan Azlan membuktikan kejaguhannya apabila memenangi kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan dalam kelas 190 cc Pusingan 2 FIM MiniGP Malaysia 2024 yang berlangsung di Litar Go Kart Sepang.

Seperti yang dilakukan pada Pusingan 1 di Litar Lumba Tangkak, Johor, pelumba kelahiran Terengganu itu tampil cukup dominan di Sepang untuk menguasai sesi kelayakan diikuti aksi perlumbaan.

Dan 50 mata maksimum di Sepang menyaksikan pelumba berusia 12 tahun itu jauh meninggalkan pencabarnya dengan mengumpul 100 mata selesai dua pusingan.

Pada Perlumbaan 1, Qabil Irfan melepasi garisan penamat dengan kelebihan 9.3 saat di hadapan juara bertahan Farish Hafiy.

Juara dunia FIM MiniGP Dunia kelas 160 cc tahun lalu itu sekali lagi membuktikan kemampuannya dengan memenangi Perlumbaan 2 dengan kelebihan 6.431 saat dengan Farish Hafiy sekali lagi terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua.

Sementara itu, saingan FIM MiniGP Malaysia 160 cc menyaksikan dominasi pelumba antarabangsa dengan penunggang Indonesia, Kenzie Akbar memenangi Perlumbaan 1 dan pelumba Vietnam, Nguyen Viet Tuan mengungguli Perlumbaan 2.

Terpantas dalam sesi kelayakan, Kenzie menamatkan Perlumbaan 1 dengan kelebihan 1.795 saat di depan Nguyen Viet Tuan dengan pelumba negara, Airel Marzuki di tempat ketiga.

Perlumbaan 2, nasib tidak menyebelahi Kenzie apabila terjatuh dengan kemenangan menjadi milik Viet Tuan dengan Airel di tempat kedua dan Daniel Syazwan ketiga.

Dalam pada itu, Kejuaraan SIC Ohvale Junior 2024 menyaksikan pendahulu kejuaraan Al-Adam Mikail dicabar hebat terutama daripada pelumba Hong Kong, Cheung Yan Kit dan penunggang Vietnam, Nguyen Minh Tuan.

Selepas Al-Adam memanfaatkan insiden perlanggaran antara Yan Kit dan Nguyen untuk mendapat kemenangan mudah pada Perlumbaan 1, dia terpaksa akur kepada ketangkasan Yan Kit dan Nyugen, yang masing-masing memenangi tempat pertama dan kedua pada Perlumbaan 2.

Begitupun, Al-Adam berjaya meletakkan diri sebagai mendahului kejuaraan dengan mengumpul 91 mata.

Sebagai info, Pusingan 3 dijadual berlangsung pada 13 dan 14 Julai di Litar MORAC Adventure Park, Langkawi, Kedah pada 13 dan 14 Julai disusuli saingan Pusingan 4 yang akan diadakan di Litar Lumba UNIMAP di Arau, Perlis pada 3 dan 4 Ogos.

Pusingan akhir akan kembali di Litar Go-kart Sepang pada 19 dan 20 Oktober.

Tiga pelumba terbaik negara dalam kelas 190 cc dan 2 pelumba terbaik negara dalam kelas 160 cc akan dipilih untuk beraksi di FIM MiniGP World Finals, yang dijadualkan pada bulan November di Valencia, Sepanyol.