FIM MiniGP M'sia 2023: Perebutan Ke Sepanyol Makin Sengit Berakhir Pusingan 4!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/19/20231 min read

KETIKA pelumba cilik Terengganu yang juga juara bertahan perlumbaan FIM MiniGP Malaysia Series, Qabil Irfan Azlan terus mendominasi Kelas 160 berakhir Pusingan 4, persaingan dalam Kelas 190 musim 2023 kian sengit.

Selesai Pusingan 4 yang berlangsung di Litar Go Kart Antarabangsa Sepang, minggu lalu, Qabil tidak berdepan masalah untuk memenangi kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan.

Selepas menguasai sesi kelayakan, Qabil meneruskan rentak kemenangannya sekalipun Perlumbaan 2 terpaksa dipendekkan susulan insiden yang berlaku di litar.

Dua kemenangan yang diraih menyaksikan Qabil mengukuhkan kedudukan di puncak selepas mengumpul keseluruhan 195 mata. Airel Marzuki juga dari Terengganu menghuni tangga kedua dengan mengumpul 144 mata dan Nguyen Viet Tuan dari Vietnam ketiga dengan 128 mata.

Sementara itu dalam kelas 190, Farish Hafiy membuktikan tekadnya untuk ke Sepanyol cukup kuat apabila merampas kedudukan pendahulu keseluruhan Kelas 190 dengan memenangi tiga daripada empat perlumbaan yang ditawarkan di Sepang.

Tiga kemenangan yang diraih menyaksikan Farish mengumpul keseluruhan 158 mata, meninggalkan Farres Putra dengan kelebihan dua mata.

Keputusan itu turut menyaksikan peluang untuk Farish kini berpeluang untuk mewakili negara pada pertarungan World Finals di Valencia, Sepanyol November ini.

Selepas memenangi Perlumbaan 1, Farish melakukan kesilapan pada Perlumbaan 2 untuk menamatkan saingan di tempat keempat di belakang pemenang Emil Idzhar, Farres Putra dan Adi Putra.

Tetapi, pelumba kelahiran Selangor itu bangkit kembali pada Perlumbaan 3 dan 4 untuk mencatat kemenangan walaupun dicabar hebat oleh Farres Putra.

Sebagai rekod, Pusingan akhir FIM MiniGP Malaysia Series dijadual berlangsung litar yang sama, Litar Go Kart Antarabangsa Sepang pada 7 dan 8 Oktober depan.