FOKUS Hadapi Pusingan 6 ESBK Talent, Qabil Irfan Kekal Di Eropah

Langkah untuk terus ‘berkampung’ di Eropah dilihat sebagai usaha taktikal SIC Racing kepada Qabil Irfan untuk menyesuaikan diri dengan cuaca, jentera, dan corak perlumbaan yang berbeza berbanding Asia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/2/20251 min read

SELEPAS mengharungi kempen Pusingan 5 ESBK Talent yang kurang mengujakan, pelumba muda sensasi negara, Qabil Irfan Azlan akan terus berada di Eropah sebagai persiapan menghadapi Pusingan 6 ESBK Talent pada Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025.

Pusingan 5 di Litar Navarra jelas tidak mengitu menjadi buat pelumba berusia 13 tahun apabila sekali lagi berdepan kesukaran.

Sekalipun terus memberikan cabaran yang sengit, pada Perlumbaan 1, pelumba kelahiran Terengganu itu menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-4 sebelum menamatkan Perlumba 2 di tempat ke-3 sekali gus menghadiahkan podium buat Malaysia sempena hari Kemerdekaan ke-68.

Justeru menjelang kempen Pusingan 6 yang dijadual berlangsung di Estoril, Portugal dari 9 hingga 14 September ini, Pengurus Pasukan SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin membuat keputusan pelumba itu dan bapanya, Azlan Abdul Rahman akan kekal di Eropah.

Kata Zulfahmi, keputusan itu penting untuk dibuat bagi memastikan Qabil kekal kompetitif dan bersedia sepenuhnya dalam mempertahankan kedudukan selaku pendahulu kejuaraan musim ini.

"Walaupun keputusan minggu lalu tidak seperti yang kami harapkan, Qabil sudah memberikan yang terbaik. Perbezaan masa hanya 0.1 saat daripada pemenang. Kami percaya dia mampu bangkit di Estoril,” kata Zulfahmi.

Qabil, yang mewakili pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly, kini mengumpul 202 mata selepas lima pusingan.

Langkah untuk terus ‘berkampung’ di Eropah dilihat sebagai usaha taktikal untuk menyesuaikan diri dengan cuaca, jentera, dan corak perlumbaan yang berbeza berbanding Asia. Ia juga memberi ruang kepada Qabil untuk menjalani latihan intensif bersama pasukan teknikal dan jurulatih prestasi.