FOKUS Hakim Danish Kini Terarah Ke Thailand

Hakim Danish yang beraksi bersama pasukan MT Helmets-MSi mengakui perlumbaan pembuka tirai musim 2026 itu bakal menyajikan cabaran berbeza berbanding apa yang dilaluinya di Eropah, namun optimis dapat menyesuaikan diri dengan cepat

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/18/20261 min read

PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli kini mengalihkan sepenuh fokusnya kepada pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix (GP) Thailand, hujung bulan ini selepas menempuh sesi ujian pra-musim yang mencabar di Sepanyol.

Pelumba pasukan MT Helmets-MSi itu bertekad untuk bangkit mempamerkan prestasi terbaik di Litar Buriram yang dijadualkan berlangsung bermula 27 Februari hingga 1 Mac depan.

Menurut Hakim Danish, perlumbaan pembuka tirai musim 2026 itu bakal menyajikan cabaran berbeza berbanding apa yang dilaluinya di Eropah, namun dia optimis dapat menyesuaikan diri dengan cepat.

"Bagi pusingan pertama di Thailand, saya jangkakan ia akan berbeza dari segi cuaca dan keadaan litar.

"Saya berharap keadaan di sana sedikit sebanyak dapat membantu saya untuk terus menyesuaikan diri dan meningkatkan prestasi," katanya.

Seperti diketahui, pelumba kelahiran Terengganu itu mengharungi Ujian Rasmi Pra-Musim Moto3 2026 di Litar Jerez, Sepanyol yang mengecewakan apabila turut terbabit kemalangan pada hari terakhir yang turut mengakibatkan kerosakan besar pada jenteranya.

Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Biarpun berdepan detik sukar, pasukan MT Helmets-MSi kekal komited memberikan sokongan penuh kepada pelumba muda negara itu untuk membina momentum dan memperbaiki prestasi secara berperingkat sepanjang musim ini.