FOKUS Penuh Kepada Ducati Ketika Ini - Marc Marquez
Honda berjaya menampilkan kebangkitan agak ketara dalam kempen MotoGP ketika ini dan mencetus spekulasi yang bekas pelumba bintangnya yang pernah menjulang tujuh gelaran dunia MotoGP, Marc Marquez akan kembali ke pangkuan pasukan itu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/3/20251 min read


KEBANGKITAN Honda dalam kempen MotoGP ketika ini mencetus spekulasi yang bekas pelumba bintangnya yang pernah menjulang tujuh gelaran dunia MotoGP, Marc Marquez akan kembali ke pangkuan pasukan itu.
Dan mungkin bagi meredakan tekanan, Marquez yang baru saja mengesahkan gelaran juara dunia MotoGP tampil memberi jawapan kepada persoalan itu dan menegaskan komitmennya terhadap Ducati.
Marquez dalam laporan di MotoGP menolak sebarang kemungkinan untuk kembali ke pasukan Honda tetapi menariknya, dalam masa terdekat, sambil menegaskan bahawa fokusnya kini sepenuhnya bersama Ducati.
Sebelum ini, bos Honda HRC MotoGP, Alberto Puig tidak menolak kemungkinan untuk kembali bekerjasama dengan Marquez dan menyifatkannya sebagau 'impian' tetapi mengakui 'tidak realistik' ketika ini.
Marquez, 32, yang memulakan kerjaya MotoGP bersama Honda selama 11 musim dan meraih enam kejuaraan dunia bersama jenama Jepun itu meninggalkan pasukan berkenaan pada penghujung 2023 selepas bergelut dengan kecederaan dan jentera yang kurang kompetitif.
Beliau menyertai pasukan Gresini Ducati pada 2024 sebelum dinaikkan ke skuad kilang musim ini, dan berjaya mengesahkan gelaran dunia ketujuhnya di Motegi, Jepun, minggu lalu.
“Saya sangat, sangat gembira dan tiga hari lalu saya menjuarai kejuaraan bersama Ducati. Jadi, fokus saya sepenuhnya pada warna merah (Ducati),” kata Marquez ketika ditemui menjelang Grand Prix Indonesia, semalam.
“Honda akan sentiasa menjadi… ya, pasukan paling lama dalam kerjaya saya,” katanya kepada laman rasmi MotoGP.
“Kami masih mempunyai hubungan yang hebat, seperti yang anda lihat di podium Motegi. Tapi saya sentiasa berpegang pada prinsip yang sama: jika anda laju, gembira dan tersenyum di satu tempat, jangan tukar.
“Kita lihat nanti. Anda tak tahu, sebab sukan boleh berubah dalam sekelip mata.”
Kontrak Marquez bersama Ducati akan tamat hujung tahun depan, sama seperti kebanyakan pelumba utama lain.
Justeru, Marquez dijangka menjadi tumpuan pasaran pelumba pada 2027.
