FRANCESCO Bagnaia Julang GP Jerman 2024, Adik Beradik Marquez Lengkap Podium

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/7/20242 min read

FRANCESCO Bagnaia merangkul kemenangan ke-4 berturut-turut MotoGP musim ini selepas menjuarai Grand Prix (GP) Jerman 2024 yang menyaksikan malang menimpa Jorge Martin ketika sedang memimpin perlumbaan.

Kemenangan di Sachsenring menyaksikan Bagnaia merampas kedudukan di carta pendahulu pelumba daripada Martin selepas pelumba Pramac Ducati itu terjatuh ketika berbaki dua pusingan.

Ketika ramai menjangkakan Martin tak bermasalah untuk merangkul kemenangan di Sachsenring - gelanggang yang dimenanginya dua kali musim lalu - situasi itu tak menjadi kenyataan buat pelumba kelahiran Sepanyol itu.

Malang yang menimpa Martin turut menyaksikan gandingan adik beradik Marquez, Alex dan Marc menaiki podium.

Sedar dengan kemalangan yang menimpa Martin, Alex tampak seperti 'menghadiahkan' tempat kedua kepada abangnya Marc yang mengharungi minggu penuh mendukacitakan di Jerman dan terpaksa memulakan perlumbaan di petak ke-13.

Dan Marquez selain itu juga terpaksa berdepan beberapa insiden termasuk menakutkan bersama Franco Morbidelli ketika berbaki lapan pusingan selain terpaksa berlumba dalam keadaan kesakitan susulan insiden ngeri yang menimpanya semalam.

Keputusan turut menyaksikan Ducati mendominasi lima kedudukan teratas dengan rakan sepasukan Bagnaia, Enea Bastianini menamatkan perlumbaan di tempat keempat diikuti rakan sepasukan Martin, Franco Morbidelli.

Pemenang tempat kedua Perlumbaan Sprint semalam, Miguel Oliveira dari pasukan satelit Aprilia, Trackhouse melepasi garisan penamat di tempat keenam.

Ia diikuti pelumba terbaik daripada kem KTM, Pedro Acosta (GasGas Tech3) ke-7 diikuti pelumba VR46 Ducati, Marco Bezzecchi, Brad Binder (KTM) dengan Raul Fernandez (Trackhouse Aprilia) melengkapkan kedudukan 10 terbaik.

Pelumba terbaik daripada pengeluar Jepun sekali lagi dilakukan oleh Fabio Quartararo (Monster Yamaha) dan pelumba terbaik Honda adalah Takaaki Nakagami (LCR Honda) yang membawa pulang satu mata.

Pelumba Repsol Honda, Luca Marini sekali lagi menamatkan perlumbaan di luar pungutan mata.

Kempen MotoGP 2024 akan mengharungi rehat musim panas sebelum kembali bersambung di GP Great Britain pada 4 Ogos depan.

Berikut keputusan perlumbaan MotoGP GP Jerman 2024

  1. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP24), 40m 40.063s

  2. Marc Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +3.804s

  3. Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +4.334s

  4. Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +5.317s

  5. Franco Morbidelli (ITA) Pramac Ducati (GP24), +5.557s

  6. Miguel Oliveira (POR) Trackhouse Aprilia (RS-GP24), +10.481s

  7. Pedro Acosta (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16)*, +14.746s

  8. Marco Bezzecchi (ITA) VR46 Ducati (GP23), +14.930s

  9. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +15.084s

  10. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia (RS-GP23), +16.384s

  11. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +17.235s

  12. Maverick Vinales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +18.865s

  13. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +25.425s

  14. Augusto Fernandez (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), +25.495s

  15. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +25.817s

  16. Luca Marini (ITA) Repsol Honda (RC213V), +25.854s

  17. Johann Zarco (FRA) LCR Honda (RC213V), +25.952s

  18. Stefan Bradl (GER) HRC Test Team (RC213V), +43.047s

  19. Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), +43.145s

  20. Remy Gardner (AUS) Monster Yamaha (YZR-M1), +50.115s

  21. Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP24), DNF

  22. Fabio Di Giannantonio (ITA) VR46 Ducati (GP23), DNF