FRANCESCO Bagnaia Lengkap Kebangkitan Di Motegi, Juara GP Jepun 2025

Rakan sepasukan Francesco Bagnaia, Marc Marquez pula mengesahkan gelaran juara dunia MotoGP ke-7 selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala Joan Mir hadiahkan podium buat Honda di laman sendiri

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/28/20252 min read

FRANCESCO Bagnaia melengkapkan hujung minggu yang sempurna di Grand Prix (GP) Jepun 2025 apabila menjuarai perlumbaan MotoGP dengan penuh dominan yang memberi petanda 'deritanya' pada musim ini akan berakhir.

Memulakan perlumbaan di petak utama, pelumba Ducati Lenovo itu tampil dengan prestasi luar biasa dengan memimpin perlumbaan dari awal hingga akhir dan lebih menakjubkan ketika jenteranya dilihat berasap di hujung saingan.

Apa yang menarik, kemenangan penutup kepada kejayaan hatrik sempurna buat pelumba diberi julukan Pecco itu yang meraih petak utama, Perlumbaan Sprint dan perlumbaan GP.

Kemenangan Bagnaia tidak hadir tanpa debaran apabila jentera Ducati GP25 miliknya dilihat mengeluarkan kepulan asap dari ekzos kanan pada separuh kedua perlumbaan.

Situasi itu mencetuskan kebimbangan di garaj Ducati, dengan pasukan teknikal dilihat gelisah setiap kali asap muncul semula, terutamanya pada 10 dan 5 pusingan terakhir.

Tetapi pelumba kelahiran Itali kekal fokus dan tidak menunjukkan sebarang tanda masalah mekanikal, malah terus mengekalkan rentak sehingga ke garisan penamat.

Menamatkan perlumbaan di belakang Bagnaia adalah rakan sepasukannya, Marc Marquez. Selepas permulaan perlahan, Marc bangkit ke kedudukan ketiga selepas selekoh pertama dan berjaya memintas Pedro Acosta sebelum pertengahan perlumbaan.

Sekalipun berjaya mengurangkan jurang kepada dua saat pada penghujung perlumbaan, Marquez memilih untuk tidak mengambil risiko dan menamatkan saingan di tempat kedua, keputusan yang cukup untuk mengesahkan gelaran dunia ke-7 buat dirinya.

Marquez yang jelas beremosi selepas perlumbaan, berhenti di tepi trek untuk menonton montaj khas perjalanan kariernya sejak kali terakhir bergelar juara dunia pada 2019. Dia kemudian meraikan kejayaan dengan ungkapan penuh makna: “More than a number.”

Sementara itu, kejayaan bersejarah turut dicipta pelumba terakhir di podium, Joan Mir yang menghadiahkan podium pertama buat Honda musim ini selepas menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

Ia juga adalah penampilan di podium pertama buat pelumba Sepanyol itu sejak 2021 ketika bersama Suzuki sekali gus menandakan kebangkitan semula selepas musim yang penuh cabaran.

Malang buat pelumba Red Bull KTM, Acosta yang bermula daripada pencabar kedudukan podium sebelum menamatkan perlumbaan di luar pungutan mata.

Pelumba terbaik Aprilia adalah Marco Bezzecchi di tempat ke-4 dan Enea Bastianini muncul pelumba terbaik KTM di tempat ke-11.

Penyandang juara dunia, Jorge Martin tidak beraksi selepas mengalami patah tulang selangka dalam insiden Sprint, manakala pelumba tuan rumah Ai Ogura turut menarik diri akibat kecederaan tangan yang masih belum pulih sepenuhnya.

Keputusan Perlumbaan MotoGP GP Jepun 2025

  1. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo, GP25, 42'09.312s

  2. Marc Marquez (SPA) Ducati Lenovo, GP25, +4.196s

  3. Joan Mir (SPA) Honda HRC Castrol, RC213V, +6.858s

  4. Marco Bezzecchi (ITA) Aprilia Racing, RS-GP25, +10.128s

  5. Franco Morbidelli (ITA) Pertamina VR46 Ducati, GP24, +10.421s

  6. Alex Marquez (SPA) BK8 Gresini Ducati, GP24, +14.544s

  7. Raul Fernandez (SPA) Trackhouse Aprilia, RS-GP25, +17.588s

  8. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha, YZR-M1, +21.160s

  9. Johann Zarco (FRA) Castrol Honda LCR, RC213V, +21.733s

  10. Fermin Aldeguer (SPA) BK8 Gresini Ducati, GP24*, +23.107s

  11. Enea Bastianini (ITA) Red Bull KTM Tech3, RC16, +23.616s

  12. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM, RC16, +23.882s

  13. Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina VR46 Ducati, GP25, +29.359s

  14. Miguel Oliveira (POR) Pramac Yamaha, YZR-M1, +30.788s

  15. Somkiat Chantra (THA) Idemitsu Honda LCR, RC213V*, +30.990s

  16. Maverick Viñales (SPA) Red Bull KTM Tech3, RC16, +31.712s

  17. Pedro Acosta (SPA) Red Bull KTM, RC16, +34.157s

  18. Alex Rins (SPA) Monster Yamaha, YZR-M1, +34.792s

Jack Miller (AUS) Pramac Yamaha, YZR-M1, DNF

Takaaki Nakagami (JPN) Idemitsu Honda LCR, RC213V, DNF

Luca Marini (ITA) Honda HRC Castrol, RC213V, DNF