FRANCESCO Bagnaia Menang Perlumbaan 'Basah' Di Buriram
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/27/20242 min read
FRANCESCO Bagnaia kembali merapatkan jurang dengan pendahulu kejuaraan MotoGP, Jorge Martin selepas menjuarai perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan litar basah Grand Prix (GP) Thailand, hari ini.
Kemenangan pelumba Ducati Lenovo itu di Buriram menyaksikan Bagnaia mencantas kelebihan Martin daripada 22 mata kepada 17 mata berbaki dua pusingan di GP Malaysia dan Valencia.
Keputusan itu begitupun turut menyaksikan Martin dari Pramac Ducati enggan melepaskan cengkamannya terhadap Bagnaia selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua.
Tiada adegan 'Ducati Cup' di Thailand seperti Perlumbaan Sprint apabila pelumba GasGas Tech3, Pedro Acosta melengkapkan kedudukan podium.
Tetapi paling malang pastinya juara dunia lapan kali, Marc Marquez apabila terjatuh ketika perlumbaan berbaki 13 pusingan ketika di posisi podium.
Dan sekalipun menyertai semula perlumbaan, juara dunia lapan kali itu melepasi garisan penamat di kedudukan ke-11.
Sekalipun pada satu ketika dijatuhkan satu anak tangga berikutan penalti selepas melakukan sentuhan dengan pelumba Honda, Joan Mir, Marquez memperoleh semula kedudukan itu selepas previu video oleh FIM.
Turut malang pastinya pelumba yang dianggap 'pakar' trek basah, Jack Miller selepas sekian lama menghuni tempat ketiga, pelumba Australia itu dipintas dua pelumba termasuk Acosta di saat akhir untuk menamatkan aksi di tempat ke-5.
Pelumba yang akan menamatkan musimnya lebih awal, Fabio di Giannantonio dari VR46 Ducati di tempat ke-4.
Pelumba terbaik pengeluar Jepun menjadi milik pelumba LCR Honda, Johann Zarco di tempat ke-8 manakala tiada pelumba Yamaha menamatkan aksi dalam kelompok pungutan mata.
Selepas Thailand, Malaysia dijadual menjadi tuan rumah pusingan ke-19 MotoGP pada minggu depan.
Keputusan perlumbaan MotoGP GP Thailand 2024
Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP24), 43m 38.108s
Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP24), +2.905s
Pedro Acosta (SPA) Red Bull GASGAS Tech3 (RC16), +3.800s
Fabio Di Giannantonio (ITA) VR46 Ducati (GP23), +4.636s
Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +5.532s
Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +5.898s
Maverick Viñales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +8.498s
Johann Zarco (FRA) LCR Honda (RC213V), +17.672s
Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP24), +18.588s
Alex Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +21.163s
Marc Marquez (SPA) Gresini Ducati (GP23), +22.251s
Luca Marini (ITA) Repsol Honda (RC213V), +22.859s
Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +24.531s
Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP24), +27.090s
Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), +30.870s
Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +50.021s