FRANCESCO Bagnaia Rampas Kembali 'Takhta' Pendahulu MotoGP, Raih Kemenangan 'Ajaib' Di Mandalika

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/15/20232 min read

FRANCESCO Bagnaia menayangkan salah satu daripada persembahan terbaiknya di MotoGP selepas memenangi perlumbaan Grand Prix (GP) Indonesia 2023 sekalipun terpaksa memulakan aksi di petak ke-13.

Kemenangan di Litar Mandalika itu turut menyaksikan pelumba pasukan Ducati Lenovo dan lebih dikenali Pecco itu merampas semula kedudukan pendahulu kejuaraan MotoGP daripada Jorge Martin yang terjatuh.

Kesilapan dilakukan oleh Martin itu yang terjadi ketika pelumba Pramac Ducati sedang memimpin perlumbaan menyaksikan dia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada perlumbaan lebih awal.

Sekalipun Martin memulakan perlumbaan dengan cukup baik - memimpin perlumbaan seawal selekoh pertama sekali pun bermula di petak keenam - permulaan Pecco juga cemerlang apabila dia memecut ke tangga keenam selepas pusingan pertama.

Bagnaia kemudian terus mencantas pelumba di depannya selepas pusingan kedua susulan kesilapan Brad Binder yang kemudian melanggar Luca Marini.

Susulan kesalahan yang dibuat, Binder dikenalakan penalti 'Long Lap' dengan Pecco ketika itu sudah berada di kedudukan keempat.

Tampak seperti 'bersenang lenang' memimpin perlumbaan dengan kelebihan 3 saat di depan pencabar utama, Martin akhirnya melakukan kesilapan pada pusingan ke-13 apabila terjatuh di selekoh ke-11.

Menariknya, rakan sepasukan Martin iaitu Johann Zarco juga terjatuh di lokasi sama.

Tenang mengikuti Vinales yang memimpin perlumbaan, Bagnaia memulakan 'langkahnya' ketika perlumbaan berbaki 9 pusingan.

Dan sekalipun dihambat kuat Vinales dan Quartararo di pusingan terakhir, Bagnaia jelas tidak gelojoh dan melepasi garisan penamat dengan kelebihan 0.306 saat.

Perlumbaan di Mandalika turut menyaksikan hanya 14 pelumba menamatkan perlumbaan dan antara yang terjatuh termasuklah bintang Repsol Honda, Marc Marquez.

Kemenangan menyaksikan Bagnaia ketika ini memiliki 346 mata dan memiliki kelebihan 18 mata di depan Martin. Marco Bezzecchi (Mooney VR46 Ducati) ketiga dengan 283 mata berbaki lima pusingan termasuk GP Malaysia yang dijadual pada November nanti.

Keputusan Perlumbaan MotoGP GP Indonesia 2023

1. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo (GP23), 41 minit 20.293 saat (s)

2. Maverick Vinales (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23), +0.306s

3. Fabio Quartararo (FRA) Monster Yamaha (YZR-M1), +0.433s

4. Fabio Di Giannantonio (ITA) Gresini Ducati (GP22), +6.962s

5. Marco Bezzecchi (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22), +11.111s

6. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM (RC16), +11.228s

7. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM (RC16), +12.474s

8. Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo (GP23), +12.684s

9. Alex Rins (SPA) LCR Honda (RC213V), +22.540s

10. Aleix Espargaro (SPA) Aprilia Racing (RS-GP23), +30.468s

11 Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda (RC213V), +30.823s

12 Miguel Oliveira (POR) RNF Aprilia (RS-GP22), +36.639s

13. Raul Fernandez (SPA) RNF Aprilia (RS-GP22), +42.864s

14. Franco Morbidelli (ITA) Monster Yamaha (YZR-M1), +4 laps

Johann Zarco (FRA) Pramac Ducati (GP23), DNF

Jorge Martin (SPA) Pramac Ducati (GP23), DNF

Joan Mir (SPA) Repsol Honda (RC213V), DNF

Augusto Fernandez (SPA) Tech3 GASGAS (RC16)*, DNF

Marc Marquez (SPA) Repsol Honda (RC213V), DNF

Luca Marini (ITA) Mooney VR46 Ducati (GP22), DNF

Pol Espargaro (SPA) Tech3 GASGAS (RC16), DNF