'FRANCESCO Bagnaia Sedia Sahut Cabaran Marc Marquez'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/7/20241 min read

DUCATI menyenaraikan gandingan yang disifatkan terhebat dalam sejarah pengeluar Itali itu di MotoGP musim 2025 tetapi timbul persoalan membabitkan kerjasama di antara dua juara dunia, Francesco Bagnaia dan Marc Marcquez.

Selepas sekian lama berteka-teki, Ducati Corse akhirnya mengumumkan Marquez sebagai pelumba yang melengkapkan posisi di Ducati Lenovo.

Ia mengikuti pengumuman Jorge Martin ke Aprilia yang turut menyaksikan Enea Bastianini kehilangan tempatnya - sekalipun pelumba Itali itu pernah disebut Bagnaia sebagai pilihan kegemarannya.

Mengakui penyenaraian Marquez sebagai antara keputusan paling sukar pernah dibuatnya, Pengurus Besar Ducati Corse, Gigi Dall’igna mendedahkan Bagnaia menerima keputusan itu dengan cukup baik dan profesional.

"Reaksi Pecco amat bagus," kata Dall’Igna kepada MotoGP.com.

"Dia pelumba profesional, juara, dan dia tahu yang kami mahukan kemungkinan terbaik untuk bertarung merebut kejuaraan dunia.

"Pada sebelum ini, ya, dia mahu pelumba seperti Enea (Bastianini) sebagai rakan sepasukan kerana hubungan di antara mereka tetapi pada akhirnya dia pelumba yang profesional dan dia memahami keputusan kami.

"Dia tidak pernah menekan kami untuk membuat keputusan."

Ditanya sama ada kedua-dua pelumba - yang menyaksikan Ducati Lenovo akan diisi gandingan pelumba yang memiliki 8 gelaran dunia MotoGP - boleh bekerjasama, Dall’Igna mengakui ia tidak mudah tetapi mampu mengendalikan situasi itu dengan baik.

"Kami perlu melakukan yang terbaik untuk melakukannya. Ia tidak mudah tetapi sejujur-jujurnya, saya mengenali pasukan dan orang yang bekerja dengan saya.

"Bekerja bersama-sama seperti kami sudah lakukan sebelum ini, kami boleh melakukannya," kata Dall’Igna.