FRANCESCO Bagnaia Tayang 'Taring', Pecah Rekod Terpantas MotoGP Petronas SIC Hari Terakhir Ujian

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/8/20242 min read

FRANCESCO Bagnaia memberi peringatan mengenai statusnya sebagai penyandang juara dunia MotoGP selepas merakamkan catatan terpantas hari terakhir ujian rasmi pra-musim MotoGP 2024 di Petronas SIC, hari ini.

Pelumba pasukan 'Factory' Ducati Lenovo itu melakukan catatan 1 minit 56.682 saat (s) pada sesi pagi yang berlangsung mendung yang turut menjadi rekod terpantas baharu di Petronas SIC.

Apa yang menarik, selain Bagnaia atau lebih dikenali sebagai Pecco, tiga lagi pelumba turut melakukan catatan bawah 1 minit 57 saat namun kesemuanya menunggang jentera Ducati.

Melakukan catatan kedua terpantas adalah naib juara dunia musim lalu, Jorge Martin (Pramac Ducati) 1:56.854s diikuti rakan sepasukan Pecco, Enea Bastianini 1:56.915s.

Seorang lagi pelumba yang melakukannya adalah juara perlumbaan Sprint GP Malaysia 2023, Alex Marquez (Gresini Ducati) yang melakukan 1:56.938s.

Tidak seperti Pecco, Martin dan Bastianini yang menguji jentera Ducati spesifikasi terkini GP24, Alex menunggang menggunakan jentera GP23.

Seperti semalam, seramai 23 pelumba turun menguji jentera masing-masing termasuk tiga pelumba ujian.

Dua pelumba utama yang tidak mengambil bahagian adalah pelumba Trackhouse Aprilia, Raul Fernandez yang mengalami kecederaan pada hari pembukaan ujian di Sepang dan pelumba Pramac Ducati, Franco Morbidelli juga susulan kecederaan.

Morbidelli digantikan dengan pelumba ujian Ducati, Michele Pirro manakala tempat Fernandez digantikan pelumba ujian Aprilia, Lorenzo Savadori.

Selepas Sepang, ujian rasmi pra-musim MotoGP 2024 akan berlangsung di Qatar pada 19 dan 20 Februari ini sebelum saingan membuka tiranya pada 8 Mac juga di Qatar.

Berikut adalah catatan terpantas setiap pelumba pada hari ketika ujian rasmi pra-musim MotoGP 2024 di Sepang, hari ini.

1. Francesco Bagnaia (ITA) Ducati Lenovo, 1:56.682s

2. Jorge Martin (ESP) Prima Pramac Racing, 1:56.854s

3. Enea Bastianini (ITA) Ducati Lenovo, 1:56.915s

4. Alex Marquez (ESP) Gresini Racing, 1:56.938s

5. Aleix Espargaro (ESP) Aprilia Racing, 1:57.091s

6. Marc Marquez (ESP) Gresini Racing, 1:57.270s

7. Fabio Di Giannantonio (ITA) Pertamina Enduro VR46 Racing, 1:57.343s

8. Pedro Acosta (ESP) Red Bull GASGAS Tech3, 1:57.365s

9. Joan Mir (ESP) Repsol Honda, 1:57.374s

10. Brad Binder (RSA) Red Bull KTM Factory Racing, 1:57.462s

11. Fabio Quartararo (FRA) Monster Energy Yamaha, 1:57.525s

12. Maverick Vinales (ESP) Aprilia Racing, 1:57.528s

13. Takaaki Nakagami (JPN) LCR Honda, 1:57.765s

14. Jack Miller (AUS) Red Bull KTM Factory Racing, 1:57.851s

15. Alex Rins (ESP) Monster Energy Yamaha, 1:57.879s

16. Johann Zarco (FRA) LCR Honda, 1:57.942s

17. Marco Bezzecchi (ITA) Pertamina Enduro VR46 Racing, 1:57.995

18. Miguel Oliveira (POR) Trackhouse Aprilia, 1:58.000s

19. Luca Marini (ITA) Repsol Honda, 1:58.026s

20. Cal Crutchlow (GBR) Yamaha Factory Racing, 1:58.673s

21. Augusto Fernandez (ESP) Red Bull GASGAS Tech3, 1:58.740s

22. Lorenzo Savadori (ITA) Trackhouse Aprilia, 1:58.814s

23. Michele Pirro (ITA) Prima Pramac, 1:58.865s