FRANCESCO Bagnaia Teruja Prestasi Ducati Desmosedici GP24

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/22/20241 min read

SELEPAS mengharungi kempen ujian pra-musim MotoGP 2024 yang boleh dianggap sempurna, pelumba Ducati Lenovo Francesco Bagnaia akhirnya mengakui jentera Desmosedici GP24 lebih baik dalam setiap sudut berbanding GP23.

Tiba di Qatar sebagai pelumba yang mencatat rekod terpantas litar baharu di Sepang, pelumba kelahiran Itali itu sekali lagi membuktikan kemampuannya apabila muncul pelumba terpantas ujian di Losail.

Mengulas mengenai catatan masa yang dilakukannya, juara dunia MotoGP 2022 dan 2023 itu berkata: "Saya sentiasa memberikan yang terbaik apabila saya melakukan catatan masa tetapi ini kali pertama saya menggunakan tayar 'Soft'," kata Bagnaia memetik laporan autosport.com.

"Jadi saya tidak tahu sebanyak mana kami boleh memperbaiki catatan masa ini. Mungkin ketika kelayakan dengan dua tayar, kamu boleh meningkat sedikit.

"Tetapi penting untuk melakukan pusingan dengan tayar 'soft' untuk melakukan simulasi perlumbaan Sprint.

"Cukup untuk melakukan satu saja catatan masa. Perasaan ketika ini menakjubkan. Saya fikir 24 lebih baik daripada segenap kawasan, setiap sudut berbanding 23.

"Ia adalah gabungan daripada segala perkara yang baik daripada 22 dan perkara yang baik daripada 23. Jadi ketika ini ia berfungsi dengan sempurna."

Sekalipun berpuas hati dengan prestasi GP24, Bagnaia turut memberi amaran ia hanyalah ujian segala-galanya boleh berubah ketika perlumbaan.

"Kita semua tahu yang ketika minggu perlumbaan segala-galanya boleh berubah. Ketika ini perasaannya adalah positif dan 24 juga nampak pantas dengan Enea (Bastianini) dan (Jorge) Martin, jadi kami boleh berbangga."