FRANCO Morbidelli Sah Sertai Pramac Ducati MotoGP

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/19/20231 min read

KEKOSONGAN yang ditinggalkan Johann Zarco di Pramac Ducati dalam kempen MotoGP 2024 akhirnya sah diisi pelumba Yamaha, Franco Morbidelli.

Morbidelli yang tempatnya di Yamaha digantikan dengan bekas pelumba LCR Honda, Alex Rins akan menjadi rakan sepasukan baharu buat Jorge Martin musim depan.

Keputusan berkenaan sememangnya sudah dijangka terutama selepas pilihan utama, Marco Bezzecchi memutuskan untuk kekal bersama satu lagi pasukan satelit Ducati, Mooney VR46.

Pengurus Besar Ducati, Luigi Dall’Igna mengulas kehadiran Morbidelli ke Pramac berkata: "Satu perkara yang menyenangkan untuk kami mengalu-alukan kehadiran Franco Morbidelli ke pasukan yang disokong jentera 'factory' Pramac Racing Team untuk musim depan, menunggang jentera rasmi Desmosedici GP.

"Franco adalah pelumba yang mempunyai bakat dan pengalaman hebat, dan lebih daripada satu kali dia menunjukkan kekuatan dan kelajuannya.

"Bukan satu kebetulan pada 2020 dia adalah naib juara dunia MotoGP, memenangi tiga perlumbaan Grand Prix.

"Kami yakin yang bersama dengan pasukan Pramac Racing dan hasil sokongan daripada kami, dia akan mampu untuk menampilkan potensi penuhnya. Kami tidak sabar untuk mengharungi pengembaraan menarik ini bersama-sama."

Kehadiran Morbidelli ke Pramac turut menyaksikan hanya Gresini Racing menjadi satu-satunya pasukan yang menggunakan jentera Ducati masih belum melengkapkan senarai pelumba bagi musim 2024.