FRANCO Morbidelli Yakin Boleh Cabar Pelumba Pasukan 'Kilang'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/15/20251 min read

ANAK didik Valentino Rossi yang kini berlumba bersama pasukan legenda itu VR46 Ducati di MotoGP, Franco Morbidelli menamatkan ujian pra-musim 2025 dengan motivasi cukup tinggi.

Sentiasa berada dalam kelompok 10 terpantas dalam ketiga-tiga ujian di Barcelona, Sepang dan Buriram, termasuk mencatatkan masa ke-4 terpantas di Malaysia, pelumba kelahiran Itali itu malah percaya mereka mempunyai kemampuan untuk mencabar pelumba pasukan 'kilang'.

Dengan pasukan Ducati Lenovo sah akan menggunakan enjin spesifikasi 2024 dengan kemungkinan pakej aero dan casis, jurang di antara pasukan utama dan satelit tampak makin kecil berbanding musim lalu.

Dan ketika ditanya mengenai sama ada perkara itu akan memberikan impak terutama terhadap peluangnya bersaing di kelompok depan, naib juara dunia MotoGP 2020 itu mengakui yang peluang ketika ini agak terbuka.

"Kami amat laju ketika ujian. Kami melakukan sebaik yang termampu. Kami terbabit secara aktif, jadi peluang kami agak terbuka," kata Morbidelli.

"Nampaknya ada beberapa penambahbaikkan yang perlu dibuat untuk mengejar Marc (Marquez). Ketika melakukan catatan terpantas terutamanya, juga kelajuan ketika perlumbaan."

Tidak dapat mengharungi ujian pra-musim pada musim lalu susulan kecederaan, Morbidelli benar-benar berpuas hati dengan apa yang diperoleh kali ini.

"Kami bermula dengan menakjubkan bersama pasukan baharu. Kami bekerja dengan amat baik dengan semua orang dan krew pasukan. Kami semua merasa amat bagus. Kami bekerja sebaik yang mungkin untuk menyediakan kami bagi menghadapi musim ini.

"Kami di sini (VR46 Ducati) adalah sekumpulan orang yang amat bersemangat dan mereka yang mecipta sejarah dalam sukan ini. Dan ia menjadi kombinasi yang amat baik dari sudut kekuatan manusia dari sudut krew."