FTG Lakar Sejarah Buat Penampilan Di GP Malaysia 2026
Pengeluar kelengkapan menunggang motosikal tempatan, FTG terus mengorak langkah dalam melebarkan sayap perniagaannya apabila buat julung kalinya membuka reruai jualan dan pameran di acara sukan permotoran dua roda terbesar dunia MotoGP Di Sepang
TERKINI
10/31/20261 min read


JENAMA kelengkapan menunggang motosikal tempatan, FTG terus mengorak langkah dalam melebarkan sayap perniagaannya apabila buat julung kalinya membuka reruai jualan dan pameran di acara sukan permotoran dua roda terbesar dunia, Grand Prix (GP) Malaysia 2026.
Apa yang menarik, penyertaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu bukan sekadar bertujuan mempromosikan produk, malah dijadikan platform strategik untuk memperlihatkan perkembangan teknologi dan inovasi terkini jenama itu.
Antara yang paling mencuri tumpuan pengunjung di reruai FTG adalah pendedahan prototaip sistem komunikasi interkom terbaharunya, M1 dan M1+ yang kini dikuasakan dengan teknologi Mesh.
Berbanding siri F30 dan F50 sebelum ini, teknologi Mesh pada model M1 dan M1+ membolehkan komunikasi berkumpulan dilakukan dengan lebih lancar, dengan model M1+ disasarkan mampu menyokong rangkaian sehingga 40 pengguna serentak.
Inovasi ini pastinya memberi nilai tambah kepada penunggang yang kerap menyertai konvoi atau melakukan perjalanan jarak jauh, menjadikan perhubungan di atas jalan raya menjadi lebih mudah dan efektif.
Walaupun masih di peringkat prototaip, FTG menyasarkan kedua-dua peranti itu akan menjengah pasaran sekitar Mei 2027, dengan harga anggaran RM 428 bagi model M1, dan RM 489 untuk model M1+.
Selain peranti komunikasi, FTG turut mengambil peluang memperkenalkan kelengkapan tunggangan terbaharu, termasuk baju hujan Raincoat Pro+ yang katanya berjaya melepasi ujian ketahanan oleh lebih 100 penunggang Malaysia dalam pelbagai ekspedisi rentas benua.
Versi yang dinaik taraf itu kini menggunakan benang khusus bagi mempercepatkan proses pengeringan, selain dilengkapi lapisan seam sealant lebih tebal bagi menjamin ketahanan kalis air, dan ia ditawarkan pada harga promosi RM 149.
Turut dipamerkan adalah pelbagai koleksi sarung tangan motosikal berharga antara RM 25 hingga RM1 38, serta kemeja-T edisi khas bertemakan Sepang dan FTG Official Crew berharga RM 45 sehelai atau pakej kombo tiga helai pada harga RM 120.



