FTG Terus Mengorak Langkah, Tayang 4 Produk Baharu Sempena MBS 2026!

Pengenalan koleksi terbaharu yang dipamerkan secara eksklusif di reruai FTG itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha jenama berkenaan membangunkan kelengkapan motosikal berkualiti tinggi

PELANCARAN

5/31/20261 min read

JENAMA kelengkapan penunggang motosikal tempatan, FTG mengorak langkah mengembangkan sayap perniagaannya dalam industri permotoran negara dengan mempamerkan 4 barisan produk baharu sempena acara Malaysia Bike Show (MBS) 2026.

Pengenalan koleksi terbaharu yang dipamerkan secara eksklusif di reruai FTG itu menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha jenama berkenaan membangunkan kelengkapan motosikal berkualiti tinggi.

Dan menariknya, menurut FTG, produk yang dihasilkan mereka diinspirasikan daripada pengalaman sebenar penunggang.

Barisan produk yang dijadualkan pelancarannya pada Ogos ini merangkumi FTG Touramax, jaket touring premium yang direka khusus untuk ketahanan dan keselesaan perjalanan jarak jauh.

Turut ditayangkan adalah FTG Touralite, jaket touring versatil yang menawarkan keseimbangan ideal antara fungsi perlindungan dan mobiliti untuk kegunaan tunggangan harian.

Melengkapkan koleksi baharu itu, FTG turut menampilkan FTG Dryshel, iaitu jaket 'windbreaker' yang memberi penekanan kepada penggunaan material lebih ringan berbanding baju hujan konvensional.

Satu lagi produk adalah membabitkan keselamatan kaki iaitu kasut FTG Adventure Pro GT yang melakar sejarah sebagai kasut adventure touring pertama keluaran jenama FTG.

Menariknya, kesemua produk terbaharu ini menurut FTG dibangunkan dengan pendekatan inovatif yang mengekalkan spesifikasi, ciri keselamatan, dan fungsi setanding kelengkapan kategori premium di pasaran.

Bagaimanapun, selari dengan komitmen utama FTG untuk memastikan kelengkapan berkualiti tinggi, ia akan ditawarkan pada titik harga yang lebih mesra poket dan mudah diakses oleh komuniti penunggang motosikal yang lebih luas di negara ini.

Menurut FTG, koleksi terbaharu ini akan mula dipasarkan secara rasmi bermula Ogos 2026 dengan pembelian boleh dibuat di semua cawangan rasmi FTGarage serta menerusi rangkaian pengedar berdaftar FTGarage di seluruh negara.

FTG dalam pada itu menjelaskan kehadiran mereka di MBS 2026 dan perluasan barisan produk sebagai bukti jelas membuktikan komitmen berterusan jenama lokal itu dalam mengangkat martabat industri kelengkapan pemotoran tempatan, sekali gus menepis persepsi bahawa produk tempatan tidak mampu bersaing dengan jenama antarabangsa.