GADIS Litar Di GP Malaysia, Itu Keputusan Dorna - KBS
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/6/20251 min read


KEHADIRAN gadis litar adalah keputusan penganjur khususnya di perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia dengan Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS hanya bertindak sebagai penyedia fasiliti.
Itu jawapan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Heoh ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat, hari ini mengenai pertanyaan mengenai kehadiran gadis litar dalam acara sukan permotoran membabitkan kementerian itu atau syarikat berkaitan kerajaan termasuk di GP Malaysia.
Hannah menerusi jawapan bertulis menegaskan yang gadis litar bertugas sebagai staf promosi atau duta jenama kepada syarikat yang terbabit di MotoGP.
Soalan itu diberikan oleh Ahli Parlimen P.Pinang, Fawwaz Jan yang bertanya sama ada KBS merancang untuk menamatkan 'tradisi' gadis litar yang kebiasaan seksi dalam acara sukan permotoran membabitkan kementerian itu atau syarikat berkaitan kerajaan.
Untuk MotoGP, keputusan kehadiran gadis litar ditentukan oleh pengelola perlumbaan berkenaan iaitu Dorna Sports, syarikat dari Sepanyol.
KBS dalam pada itu berkata mereka menerusi PETRONAS SIC akan membuat perjumpaan dengan Dorna dari masa ke semasa untuk memperbaiki kualiti dan konten GP Malaysia.
Malah, Hannah turut menegaskan kementeriannya sentiasa melindungi sensitiviti agama dan budaya komuniti berbilang kaum di Malaysia.
Sementara itu menurut data yang dikeluarkan oleh KBS, GP Malaysia pada tahun lalu berjaya menarik kehadiran 184,923 penonton ke litar termasuk lebih daripada 18,000 pelancong asing.
Dan kajian yang dibuat oleh SIC pada 2022 memperoleh datapan yang MotoGP menyumbang lebih daripada RM 150 juta kepada ekonomi tempatan.
Sebagai info, PETRONAS SIC ketika ini sedang menjadi lokasi ujian pra-musim MotoGP 2025 dengan GP Malaysia 2025 dijadual pada 24 hingga 26 Oktober depan.
