GALERI Royal Enfield One Ride 2023 Malaysia, Wak Doyok Pun Ada!
9/19/20231 min read
SYARIKAT pengeluar motosikal antara tertua dunia, Royal Enfield menganjurkan salah satu acara terpentingnya 'Royal Enfield One Ride' 2023 serentak di seluruh dunia, minggu lalu yang turut 'disahut' oleh Royal Enfield Malaysia.
Di Malaysia, edisi ke-12 'Royal Enfield One Ride' yang berlangsung selama dua hari dari 16 dan 17 September itu turut diisi dengan pelbagai pengisian menarik dengan acara utama konvoi.
Dan lebih menarik, acara kali ini turut mendapat kerjasama dengan kelab Malaysian Vintage, Classic & Military Bike dan Kelab Motosikal Klasik Selangor. Turut mengambil bahagian adalah pempengaruh terkenal, Wak Doyok.
Untuk tahun ini, Royal Enfield menekankan mesej tanggungjawab dan kehidupan yang mapan dengan hashtag #LeaveEveryPlaceBetter.
Ia bertujuan menggalakkan komuniti penunggang Royal Enfield untuk mengamalkan perjalanan yang bertanggungjawab, memastikan perjalanan mereka meninggalkan kesan positif di tempat yang mereka singgah.
Ini kerana Royal Enfield percaya bahawa bermotosikal bukan hanya mengenai destinasi; namun turut membabitkan perjalanan dan memelihara keindahan alam sekitar.
Terkenal sebagai salah satu penganjuran konvoi sehari terbesar dunia, kira-kira 100 perserta yang juga pemilik jenama Royal Enfield pelbagai model mengambil bahagian di Malaysia.
Dan antara perjalanan konvoi kali ini adalah membabitkan perjalanan dari Royal Enfield PJ ke Dataran Pantai Batu Laut, Banting Selangor dengan jarak perjalanan kira-kira 80 km.