GANDINGAN Hafizh Syahrin, Andi Farid Di JDT Racing Team!

Kehadiran Andi Farid bergandingan dengan Hafizh Syahrin mengukuhkan reputasi JDT Racing Team sebagai antara pasukan paling serius dalam pembangunan sukan permotoran dua roda di Asia

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/10/20261 min read

JDT Racing Team menamatkan persoalan mengenai siapa bakal memacu pasukan itu bersama Hafizh Syahrin Abdullah apabila mengesahkan pelumba Indonesia, Andi Farid Izdihar menyertai pasukan itu bagi menghadapi kempen Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) musim ini.

Perkembangan menarik itu diumumkan pasukan berpangkalan di selatan tanah air menerusi semua platform media sosial.

“Selamat datang ke Rumah Juara Andi Farid Izdihar. Kami bukan sekadar menambah pelumba, tetapi mahu mengangkat tahap persaingan,” tulis pasukan itu.

Seperti diketahui, Hafizh yang menjulang gelaran Asia dalam kelas perdana ASB1000 musim lalu dengan menggunakan jentera Ducati tidak mempunyai rakan sepasukan tetap sejak menyertai kejuaraan itu pada musim 2024.

Seperti Hafizh yang memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa, Andi juga bukan nama asing dengan bekas pelumba Astra Honda Racing dalam ARRC pernah beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia dalam kelas Moto3 dan Moto2.

Selain itu, Andi turut pernah memenangi gelaran Asia dalam kelas SS600 pada musim 2022 yang menyaksikan pasukan itu memiliki gandingan juara Asia.