GANDINGAN Marc Marquez, Pecco Bagnaia Buat Ducati Desmosedici GP Jadi Lagi 'Padu'!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/1/20251 min read

DUCATI Lenovo menjangkakan dua pelumbanya, Marc Marquez dan Francesco Bagnaia untuk bersaing sengit sesama sendiri musim ini dan situasi itu boleh dilihat dalam beberapa perlumbaan setakat ini termasuk di Grand Prix (GP) Sepanyol 2025.

Tetapi disebalik perseteruan itu, bos pasukan itu, Davide Tardozzi berkata kedua-duanya dikatakan masih mengekalkan komunikasi yang baik di garaj pasukan seperti ditunjukkan ketika ujian di Jerez.

"Ya, seperti biasa apa yang pelumba-pelumba lebih banyak berbual pada hari seperti ini, ketika latihan dan ujian," kata Tardozzi memetik laporan MotoGP.com.

"Jadi saya fikir yang hubungan di antara dua pelumba ini adalah sesuatu yang membantu Gigi (Dall’Igna) dan jurutera-jurutera untuk membangunkan jentera dan ia adalah sesuatu yang kami amat hargai.

"Ramai yang tidak yakin yang ia boleh berlaku, tetapi kami bukan saja mempunyai dua juara, tetapi kami mempunyai dua individu yang bijak.

"Mereka tahu dengan bekerja bersama-sama akan mempercepatkan pembangunan jentera."

Di Jerez, Bagnaia menamatkan perlumbaan di tempat ketiga di belakang Alex Marquez (juara) dan Fabio Quartararo dari Monster Yamaha manakala Marc melepasi garisan penamat di tempat ke-12 selepas bangkit daripada kemalangan.

Tardozzi berkata kedua-dua pelumbanya itu menguji komponen yang berbeza pada ujian di Jerez.

"Dengan Marc, kami menguji bahagian depan, untuk memberikannya lebih keyakinan ketika memasuki selekoh. Manakala Pecco, kami menguji keseimbangan jentera, perkara yang dia tidak gembira ketika pada minggu lalu.

"Dan kami juga menguji beberapa komponen baharu, lengan ayun yang kami perlu uji semula."

Marc mencatat masa terpantas ketika ujian di Jerez dengan melakukan 1 minit 35.876 saat (s) dan menjadi satu-satunya pelumba melakukan catatan 35s manakala Bagnaia di kedudukan ke-19.