GANDINGAN Vale, Marini Juarai Perlumbaan '100km of Champions' 2024

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/15/20241 min read

GANDINGAN adik beradik, Valentino Rossi dan Luca Marini menjuarai perlumbaan 'lasak' '100km of Champions' edisi 2024 yang berlangsung di ladang milik legenda Itali itu di Tavullia, semalam.

Berlumba menggunakan jentera 'Motocross', Vale dan Marini memenangi perlumbaan 50 pusingan itu dengan catatan masa 1 jam 45 minit 54 saat.

Gandingan Elia Bartolini dan Celestino Vietti menamatkan perlumbaan di tempat kedua manakala Andrea Migno dan Franco Morbidelli melengkapkan kedudukan podium.

Di tempat keempat adalah gandingan Ferran Cardus dan Diogo Moreira, pelumba yang juga rakan sepasukan Damok di Moto3 musim lalu.

Muka baharu dalam pasukan VR46 MotoGP, Fabio di Giannantonio bersama gandingannya Dennis Foggia di tempat kelima.

Tempat keenam menjadi milik juara dunia MotoGP 2023, Francesco Bagnaia bersama rakan sepelatihannya Marco Bezzecchi.

Gandingan MotoGP dan WSBK, Pedro Acosta dan Remy Gardner menamatkan perlumbaan di tempat ke-12.

Bagi Marini, ia adalah kemenangan pertamanya bersama Honda selepas melengkapkan perpindahan dari VR46 ke Repsol Honda bagi kempen MotoGP 2024.