GARANG, Voge DS625X Gegar MotoXperience 2026, RM 35,888!
Kehadiran Voge DS625X melengkapkan lagi barisan produk sedia ada yang semakin mendapat tempat di pasaran tempatan, termasuk skuter popular Voge SR450X dan jentera kembara lasak, Voge DS800X Rally
PELANCARAN
6/6/20261 min read


SEMPENA penganjuran MotoXperience 2026 sempena Malaysia Bike Show (2026), MForce Bike mencuri tumpuan peminat dua roda tempatan apabila melancarkan model 'adventure touring' yang memiliki penampilan cukup 'ganas' Voge DS625X (2026).
Kehadiran model serba baharu di bawah jenama Voge Malaysia itu melengkapkan lagi barisan produk sedia ada yang semakin mendapat tempat di pasaran tempatan, termasuk skuter popular Voge SR450X dan jentera kembara lasak, Voge DS800X Rally.
Dan antara kekuatan Voge DS625X (2026) adalah membabitkan harga iaitu RM 35,888.
Dari segi prestasi, Voge DS625X (2026) yang direka untuk laluan jarak jauh ini dipacu enjin 581 cc, Penyejuk Cecair, Fi yang dipadankan dengan transmisi automatik CVT.
Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 63 Hp pada 9,000 rpm dan tork 57 Nm pada 6,500 rpm.
Kuasa kemudian disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear enam kelajuan yang disokong oleh dua pilihan mod tunggangan, iaitu Eco untuk penjimatan bahan api dan Sport bagi penunggang yang mahukan aksi lebih agresif.
Bagi menjamin kestabilan dan keyakinan penunggang, Voge DS625X menggunakan tetapan suspensi fork teleskopik jenis terbalik (USD) di bahagian depan dan penyerap hentak tunggal boleh laras di belakang.
Aspek keselamatannya tampil dengan sistem brek cakera Nissin depan dan belakang yang disokong Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran serta Sistem Kawalan Cengkeraman (TCS) bagi mengelakkan tayar tergelincir di permukaan licin.
Info lain:
Tangki bahan api 17.6 liter
Tinggi pelana 835 mm
Panel meter LCD
Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)
Visor angin boleh laras
Kamera perakam (depan)
Secara keseluruhan, ia didatangkan secara standard dengan pakej aksesori lengkap merangkumi set tiga kotak bagasi aluminium, lampu limpah dan pelindung tangan.



